suria

SSM Sedia Bantu Mek Som Yang Ditetak Ketika Disamun

Mek Som terlantar di hospital. Foto bharian

KOTA BARU: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan membantu Mek Som Mat Diah, 89, yang putus pergelangan kaki kirinya akibat ditetak seorang remaja lelaki dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Tanjung Rendang, Lemal, Pasir Mas, Ahad lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner berkata, SSM berasa sedih dan bersimpati dengan warga emas itu.

"Apa yang berlaku terhadap Mek Som amat menyedihkan dan SSM rasa terpanggil untuk membantunya. Ia merupakan tanggungjawab sosial korporat SSM," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kejadian yang menimpa Mek Som itu turut mendapat perhatian Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang meminta SSM membantu sama ada dari segi sumbangan kaki palsu atau kerusi roda. 

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, suspek dilaporkan menceroboh rumah wanita berkenaan dan meminta wang.

Suspek bagaimanapun mula bertindak agresif apabila mangsa dan anaknya enggan memberikan wang. 

Sementara itu, Pengarah SSM Kelantan, Wan Abd Rahim Wan Daud yang melawat Mek Som yang sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, berkata warga emas itu stabil.  

Beliau berkata, hasrat SSM itu telah disampaikan kepada Mek Som dan SSM akan berbincang dengan pihak HUSM tentang bantuan yang sesuai untuk warga emas itu. - Bernama

Mek Som, SSM

Artikel Lain