suria

Najib Umum Duit Raya RM49.52 Juta Kepada Peneroka Felda

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) menyerahkan replika cek duit raya bernilai RM29 juta 113 ribu 800 kepada Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Shamsudin Osman pada Program Ihya Rahmat Ramadan Warga Felda Peringkat Kebangsaan 2016 di Dewan Semai Bakti Felda Chini Timur Tiga pada Rabu. Foto Bernama

PEKAN: Sebanyak 99,046 peneroka Felda di seluruh negara menerima hadiah istimewa daripada kerajaan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu mengumumkan insentif duit raya sebanyak RM500 seorang dengan jumlah keseluruhan RM49.52 juta.

Pada peringkat awalnya pemberian duit raya berkenaan hanya berjumlah RM300 seorang, namun Najib pada majlis berkenaan secara spontan bersetuju menambah RM200 lagi kepada jumlah itu selepas berbincang dengan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad.

"Teks ucapan saya hari ini yang telah disediakan sepatutnya umum duit raya sebanyak RM300 seorang, namun setelah saya berbincang dengan Isa, beliau berkata di Kuala Kangsar kita beri RM500 kepada Risda.

"Jadi Felda tidak boleh kalah, kira punya kira saya kata tak apalah, kita tambah lagi RM200, semoga sumbangan ini akan dapat membantu peneroka membuat persiapan hari raya dengan lebih gembira," katanya yang disambut dengan sorakan dan tepukan daripada hampir 4,000 hadirin.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Ihya Rahmat Ramadan Warga Felda peringkat kebangsaan 2016 di Dewan Semai Bakti Felda Chini Timur 3, di sini Rabu.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana, Menteri Datuk Razali Ibrahim; Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Datuk Seri Ishak Muhamad dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Elwal Felda Pahang, Datuk Abu Bakar Harun.

Dalam ucapannya Najib turut menyelar tindakan sesetengah pihak yang menyifatkan pelbagai bantuan yang disumbangkan oleh kerajaan selama ini untuk membantu rakyat seperti memberi dedak kepada haiwan.

"Kita tolong rakyat bina sekolah, bina rumah, bina jalan bukannya bagi makan dedak. Dedak itu makanan haiwan, kalau kita beri bantuan pun, itu bermakna kita prihatin dengan keperluan rakyat. Inilah kerajaan BN (Barisan Nasional)," katanya.

Perdana Menteri turut berkongsi kegembiraan dengan kemenangan besar BN pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Parlimen Kuala Kangsar, Perak Sabtu lepas dan dalam masa yang sama turut mengingatkan wakil rakyat BN agar tidak terbuai-buai dengan kejayaan itu.

"Jangan riak dengan kemenangan ini. Mesti sentiasa rendah diri, jangan ego, jangan 'ekk' (sombong), jangan bawa angin sebab orang kampung meluat kalau terlalu ego.

"Biar rendah diri bersama rakyat, mesti tunjuk keinginan yang kuat untuk menolong dan membantu rakyat sepanjang masa, barulah rakyat akan tetap pilih BN sepanjang masa," katanya.

Najib berkata, walaupun BN dan dirinya sendiri berhadapan dengan pelbagai tomahan dan serangan peribadi, namun parti itu tetap menjadi pilihan rakyat kerana mereka tahu menilai parti manakah yang dapat membela nasib mereka.

"Rakyat mahu sebuah parti yang mereka boleh yakini. Mereka tidak kisah tentang cerita dan isu nasional versi lain yang dibawa (oleh pembangkang) tentang 1MDB. 

"Yang merea hendak tahu ialah hari esok lebih baik daripada hari ini, dia nak tahu siapa boleh jamin masa depan. Tengok punya tengok, depan, belakang, mereka tengok puak yang datang, akhirnya lebih baiklah mereka pilih BN yang mereka kenal selama ini telah banyak membantu membawa mereka ke hadapan.

"Lebih baik mereka pilih orang yang mereka kenal ... yakin. Biar siapa pun yang datang termasuklah bekas perdana menteri (Tun Dr Mahathir Mohamed), namun tetap tak 'lut', malah di kawasan yang beliau turun di Kuala Kangsar, undi terhadap BN semakin bertambah," katanya.

Dalam masa yang sama, Perdana Menteri turut memberi jaminan kerajaan akan terus membela nasib peneroka Felda termasuk generasi kedua dengan menyediakan
pelbagai kemudahan termasuk rumah mampu milik dengan harga RM70,000 seunit bagi memastikan mereka hidup selesa. - Bernama

duit raya, peneroka felda, felda

Artikel Lain