suria

Inilah Kitaran Kehidupan - Wan Emir

CERIA... Calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid meraikan kejayaan bersama empat anaknya, dari kiri: Wan Muhammad Amar, Wan Emir Astar, Wan Imar Izzat, dan Wan Iskandar selepas keputusan rasmi beliau menang dengan majoriti 6,969 menewaskan calon Parti Amanah, PAS dan calon Bebas. -fotoBERNAMA

KUALA KANGSAR: Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad akan sentiasa berada dalam ingatan empat anak lelakinya yang penyayang.

Malah pemergian bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu amat dirasai ketika rakan sebaya meraikan sambutan Hari Bapa bersama bapa kesayangan mereka.

Ini adalah kali pertama mereka tidak meraikan sambutan itu bersama bapa mereka yang maut dalam nahas helikoper terhempas di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Wan Emir, 26, berkata hakikatnya bapanya meninggal dunia dalam nahas helikopter menjelang sambutan Hari Ibu bulan lalu dan secara kebetulan pula ibunya, Datin Mastura Mohd Yazid memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar menjelang Hari Bapa.

"Tiada kata-kata yang dapat saya ungkapkan bagaimana Allah mahu menunjukkan kehebatannya. Siapa sangka ia akan berlaku seperti ini?

"Ia ibarat satu kitaran kehidupan yang lengkap," katanya kepada pemberita di kediamannya di Bukit Chandan pada Ahad.

Wan Emir berkata setiap kali apabila Hari Bapa, dia akan menghantar mesej video kepada bapanya kerana dia dan adiknya melanjutkan pengajian di London.

"Kami akan sentiasa bertukar mesej video manakala adik-adik saya yang berada di Malaysia akan meraikan dan meluangkan masa bersama dengannya.

"Namun kadang-kala bapa kami sibuk dengan kerjanya. Kami menghargai setiap masa yang kami luangkan semasa Hari Bapa. Bagi kami apabila kami meraikan bapa kami, kenangan indah bersama bukan sahaja dikongsi pada Hari Bapa semata-mata.

"Saya fikir ia sesuatu yang amat istimewa dan bersifat peribadi kepada kami," katanya.

Wan Emir berkata dalam semua video tersebut, satu mesej sentiasa jelas iaitu bapanya sentiasa menjadi inspirasi kepada mereka untuk menjadi individu yang lebih baik.


Artikel Lain