suria

11 Ditahan Kutip Derma Tanpa Kebenaran Di Bazar Ramadan

MELAKA: Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) menahan 11 individu termasuk tiga beranak kerana terlibat dalam aktiviti kutipan derma atau khairat tanpa kebenaran di dua bazar Ramadan di sini, awal pagi Ahad.

Ketua Penguatkuasa JAIM, Rahimin Bani berkata tangkapan pertama melibatkan tiga beranak iaitu pasangan suami isteri berusia 50-an dan anak lelakinya berusia 14 tahun, di kawasan Ayer Keroh kira-kira 10.30 malam, semalam.

Beliau berkata tiga beranak terbabit yang merupakan anggota sebuah yayasan di Seremban, mendakwa kutipan berkenaan bertujuan untuk pembinaan asrama di yayasan tersebut.

"Tangkapan kedua pula melibatkan lapan lelaki berusia 18 hingga 30 tahun yang merupakan pelajar sebuah pusat tahfiz di Batu Gajah, Jasin, kira-kira 12.30 tengah malam tadi.

"Hasil siasatan awal mendapati pusat tahfiz itu pernah mendapatkan permit  mengutip derma tetapi telah tamat tempoh. Hasil kutipan kali ini didakwa untuk menampung perbelanjaan pusat tahfiz berkenaan," katanya kepada pemberita selepas operasi bersepadu bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Melaka di sini, awal pagi Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata kesemua mereka dikeluarkan saman hadir untuk siasatan lanjut oleh JAIM, dan semua lapan tabung kutipan derma berjumlah lebih RM600 itu disita dan akan dimasukkan ke Baitulmal.

Katanya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 89 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991, yang boleh dikenakan denda RM2,000 atau penjara tidak lebih 18 bulan.

Rahimin berkata pihaknya juga menahan tiga lelaki warga Thailand berusia antara 18 dan 30 tahun yang melakukan kutipan derma tanpa kebenaran di sebuah pasar raya di Duyong, semalam.

Beliau berkata semua aktiviti kutipan derma atau khairat di negeri ini perlu mendapatkan kebenaran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi mengelak penipuan atau penyalahgunaan hasil kutipan tersebut.

Katanya setiap permit kebenaran kutipan derma mempunyai tempoh ditetapkan bergantung pada jumlah diperlukan untuk membangunkan sesuatu projek di sekolah tahfiz yang memohon itu.

"Kita tidak mahu ada orang ketiga atau sindiket yang meraih keuntungan daripada hasil kutipan derma, dan aktiviti tanpa kebenaran ini boleh mencemarkan imej Islam dan pelajar tahfiz serta imej Melaka," katanya.

Beliau berkata orang ramai yang ingin menderma disaran berbuat demikian di masjid atau surau di negeri itu, yang menyediakan tabung khas serta kepada institusi berdaftar.

Bazar Ramadan, Derma

Artikel Lain