suria

Tiga Adun BN Tak Hadir Majlis Pelantikan PTC

GEORGE TOWN: Tiga wakil Barisan Nasional (BN) yang dipilih sebagai Ahli Majlis Pengangkutan Pulau Pinang  (PTC) tidak hadir pada majlis pelantikan yang berlangsung Selasa.

Ketua Pembangkang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Air Tawar, Datuk Jahara Hamid; Adun Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah dan Adun Bayan Lepas, Nordin Ahmad dalam kenyataan bersama berkata, mereka menerima surat jemputan untuk pelantikan sebagai ahli PTC pada majlis yang dijadualkan berlangsung Selasa.

Bagaimanapun, ketiga-tiga wakil Umno itu berkata, surat jemputan itu bukan surat pelantikan jawatan.

Ia tidak mencatatkan maklumat terperinci mengenai terma rujukan, peranan serta kuasa PTC.

Wakil rakyat berkenaan berkata, maklumat itu penting untuk memastikan jawatankuasa PTC dapat berfungsi sebagai sebuah badan yang memantau dan memeriksa perancangan dan pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

"Ini termasuk usaha untuk mengenal pasti alernatif daripada segi kewangan untuk projek PTMP yang memiliki model yang munasabah termasuk pembiayaan pihak kerajaan Pusat.

"Jemputan PTC dibuat dalam keadaan tergesa-gesa  dan menyifatkannya sebagai usaha melepaskan batuk di tangga," katanya.

Semuanya 51 wakil dilantik termasuk Jahara, Shah Headan dan Nordin  dilantik sebagai ahli PTC pada majlis yang diadakan di Kompleks Masyarakat Penyayang, Selasa.

Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Dr Lim Mah Hui dan penulis blog, Anil Netto adalah antara ahli PT yang baharu.

Turut tersenarai adalah Adun Tanjung Bungah, Teh Yee Chew, Adun Penanti, Dr Norlela Ariffin, Adun Bukit Tengah, Ong Chin Wen, Adun Machang Bubuk, Lee Khai Loon dan Adun Batu Uban, Dr T. Jayabalan.

Tempoh pelantikan itu akan tamat pada 30 September tahun depan.

Sementara itu, Pengerusi PTC, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri menyerahkan kepada ketiga-tiga wakil BN itu untuk membuat keputusan selepas menyerahkan terma rujukan.

"Sekretariat tidak menyerahkan terma rujukan bersama surat jemputan, jadi mereka mahu menelitinya dahulu sebelum membuat keputusan sama ada mahu menerima pelantikan itu atau sebaliknya.

"Saya dengar daripada pegawai terlibat bahawa Nordin menolak tetapi rasanya mereka perlu berbincang selepas meneliti terma rujukan itu," katanya.

Bagaimanapun, Nordin ketika dihubungi berkata, beliau secara rasmi menolak pelantikan itu.



Jahara Hamid, PTC

Artikel Lain