suria

Jurulatih Kayak Didakwa Bantu Pengganas

Mohamad Jazrin ketika diiringi anggota polis khas untuk dihadapkan ke mahkamah, pada Rabu pagi.

KAMPAR: Seorang jurulatih kayak dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini di atas pertuduhan membenarkan kemasukan dan pengeluaran wang dari akaun banknya bagi manfaat pengganas.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohamad Jazrin Mohamad Azaha, 22, setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azrul Hasyimi Mohammad.

Tertuduh yang memakai baju kemeja-T merah dan seluar jeans biru itu didakwa mengendalikan harta pengganas, Muhammad Wandy Mohamed Jedi, 20, dengan cara memberikan perkhidmatan kewangan iaitu membenarkan kemasukan dan pengeluaran wang dari akaun RHB Banknya.

Mohamad Jazrin melakukan kesalahan itu di alamat nombor 67 dan 69, Jalan Tasik, 31600, Gopeng, pada Januari hingga Februari 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130Q (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana harta terlibat, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Azriah Zaid dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nurul Azriah berkata tertuduh tidak dibenarkan sebarang jaminan kerana kes tertakluk dengan Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Mahkamah menetapkan 27 Julai depan bagi sebutan semula kes itu untuk mendapatkan izin kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tertuduh merupakan salah seorang 14 individu termasuk seorang wanita disyaki mempunyai kaitan dalam gerakan kumpulan militan Daesh ditahan polis dalam operasi pada 18 hingga 20 Mei lepas yang telah diumumkan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.-- Bernama



Artikel Lain