suria

Seorang Lelaki Didakwa Kendali Harta Pengganas

MELAKA: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengendalikan harta pengganas.

Mohamed Danny Mohamed Jedi, 28, didakwa dengan pengetahuan mengendalikan harta pengganas yang bernama Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, 25, dengan cara memberikan perkhidmatan kewangan iaitu membenarkan kemasukan dan pengeluaran wang daripada akaun Maybanknya bagi memberi manfaat kepada pengganas berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Ayer Keroh, G-6, Lebuh Ayer Keroh, Hotel King, Ayer Keroh di sini antara 28 Jan dan 5 Mac tahun ini.

Mohamed Danny didakwa mengikut Seksyen 130Q (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana harta terbabit.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd Asri Abd Rahman Sidik.

Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Julai depan untuk sebutan semula kes itu.-- Bernama



Artikel Lain