suria

Tak Turun Kempen, Azmin Jawab KJ



SUNGAI BESAR:
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akhirnya menjawab kritikan dan tuduhan mengenai ketidakhadirannya berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Azmin berkata, beliau tidak perlu bersusah payah untuk meraih undi penduduk di Sungai Besar kerana beliau sentiasa turun padang untuk bertemu rakyat walaupun tanpa pilihan raya.

"Media tanya saya, Khairy Jamaluddin tanya saya mana pergi Azmin Ali dia tak datang maknanya dia tak sokong Amanah dan Pakatan Harapan.

"Saya tak payah pulun kerja di Sungai Besar semata-mata kerana PRK. Kita dalam kerajaan negeri sebelum ini dari 2008, atas semangat Pakatan Rakyat dan sekarang Pakatan Harapan, kita kerja sepanjang masa sama ada pilihan raya, tak ada pilihan raya kita turun kerja beri khidmat kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Iftar Perdana Bersama Menteri Besar di Sungai Panjang di sini, Selasa.

Azmin berkata, beliau tidak turun berkempen di Sungai Besar dan Kuala Kangsar disebabkan perlu mengiringi Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam program bersama rakyat hampir setiap malam pada bulan Ramadan.

"Sebagai menteri besar saya bertanggungjawab untuk mengiringi tuanku.

"Pada malam ini tuanku di masjid Jeram. Saya bisik pada tuanku malam tadi izinkan patik turun ke Sungai Besar dan tuanku perkenankan saya turun. InsyaAllah Jumaat saya akan turun lagi, Khamis di Kuala Kangsar," katanya.

Dalam majlis yang sama Azmin turut menegaskan sokongannya terhadap calon Parti Amanah Negara (Amanah), Azhar Ab Shukur.Bagaimanapun, beliau turut berterima kasih kepada calon PAS Dr Abdul Rani Othman yang disifatkan sebagai 'sahabat dalam DUN' yang turut hadir pada majlis tersebut.Katanya, Dr Rani telah banyak membantu menyokong dasar-dasar kerajaan negeri sejak 2008.

Artikel Lain