suria

Mastura Rujuk Pakar Agama Sebelum Putuskan Keluar Mengundi Atau Tidak

Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid menunjukkan edaran berkaitan 'Agenda Memperjuangkan Harapan Orang Kuale'.

KUALA KANGSAR: Calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid yang masih dalam tempoh edah, akan merujuk kepada pakar agama sebelum membuat keputusan sama ada keluar mengundi atau sebaliknya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, 18 Jun ini.

Mastura, 55, berkata beliau sangat berharap agar dapat keluar, namun akan akur dengan apa jua keputusan pihak pakar agama berhubung perkara itu.

"Kehendak diri untuk keluar menunaikan kewajiban mengundi sangat kuat namun sekiranya ada berkaitan hal agama melibatkan batas untuk saya keluar mengundi, saya akan dapatkan nasihat orang yang berilmu sebelum membuat keputusan.

"Bagaimanapun, saya mendoakan semua penduduk agar berada dalam keadaan sihat dan beramai-ramai keluar mengundi di hari pengundian nanti," katanya dalam sidang media ditemani anak bongsunya, Wan Muhammad Amar, 19, di kediamannya di Bukit Chandan, di sini, Sabtu.

Mastura berkata, beliau sudah sekurang-kurangnya empat kali keluar mengundi sejak menetap di Kuala Kangsar sebelum ini.

"Sejak dahulu, setiap kali musim pilihan raya, saya tidak pernah ketinggalan menunaikan tanggungjawab dan akan keluar mengundi di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin, tidak jauh dari sini (rumah)," katanya.

PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga suami Mastura, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Ia menyaksikan pertembungan empat penjuru di Kuala Kangsar antara BN, PAS, Parti Amanah Negara (Amanah) dan seorang calon Bebas.

Suruhanjaya Pilihan raya menetapkan hari pengundian diadakan pada 18 Jun.-- Bernama 


Artikel Lain