suria

"Saya Akan Balik Sungai Besar Seminggu Sekali" - Dr Rani

Dr Rani memeriksa kesihatan Chua Chu Hua, 67, di kediamannya di Sekinchan pada kempen PRK Sungai Besar.


SUNGAI BESAR: Menyedari dirinya bukan anak tempatan, calon PAS Dr Abdul Rani Othman berjanji akan turun padang ke kawasan  itu seminggu sekali jika memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.

Dr Rani berkata, sebuah pusat khidmat masyarakat peringkat Parlimen akan dibuka di pekan ini bagi membolehkan masyarakat setempat menyuarakan masalah, rungutan atau aduan sebelum ia dibawa ke Parlimen.

“Kalau perlu dalam pusat khidmat masyarakat ini kita akan panggil orang Cina sendiri di Sekinchan untuk bertugas di situ sebab orang Sekinchan lebih tahu apa berlaku di kawasan mereka, begitu juga di Sungai Panjang.

“Walaupun dikatakan bukan orang tempatan, saya akan datang seminggu sekali ke pusat ini untuk mengetahui apa-apa masalah yang boleh disuarakan di Parlimen,” katanya kepada pemberita di markas PAS di sini, Jumaat.

Dr Rani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru itu berkata, beliau dan PAS telah mengenal pasti beberapa isu tempatan yang boleh dikemukakan di Dewan Rakyat.

Antaranya adalah memperjuangkan hak dan bantuan pendidikan menyeluruh dan membela nasib golongan petani.

“Sebagai ahli Parlimen, saya akan mainkan peranan,  menegur dan mengkritik urus tadbir yang  songsang dan memberi cadangan penyelesaian kepada masalah yang timbul.

“Kita juga menolak GST dan TPPA  (Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik) yang memberi masalah besar kepada rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai nasib penanam padi yang didakwa mendapat pendapatan bersih kurang RM1,000 sebulan, PAS menggesa kerajaan supaya menaikkan harga padi dan subsidi serta menurunkan peratus potongan kualiti padi.

Katanya, PAS mencadangkan kadar baharu harga padi dinaikkan daripada RM1,200 satu tan kepada RM1,300 ke RM1,350 dan kadar subsidi RM300 dinaikkan kepada RM500, selain kadar potongan kualiti padi dari 20 peratus kepada 17 hingga 15 peratus.

Katanya, jika diluluskan, ia akan membolehkan petani mendapat sekurang-kurangnya RM1,500 hingga RM1,600 sebulan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain