suria

Tiga Individu Didenda Buat Laporan Polis Palsu

KULAI: Tiga individu termasuk seorang wanita masing-masing didenda RM300 hingga RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah atas pertuduhan membuat laporan polis palsu melibatkan kes samun dan ragut, awal bulan ini.

G.Vani, 39, seorang pengganggur, didenda RM500, Kamaruddin Hassan, 52, (RM300) dan Muhammad Haziq Baharudin, 23, didenda RM700 selepas mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Majistret Ahmad Farid Ahmad Kamal.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara tujuh hari, sekiranya gagal membayar denda.

Kesemua tertuduh didakwa mengemukakan laporan palsu di Pusat Sehenti, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kulai antara 3 hingga 6 Jun lepas.

Dalam kertas pertuduhan, Vani mendakwa dirinya diragut dua lelaki yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 di hadapan Balai Polis Kulai kira-kira pukul 8 malanm, 3 Jun lepas.

Bagaimanapun, hasil soal siasat polis mendapati kejadian ragut terhadap tertuduh tidak berlaku dan tertuduh mengaku membuat laporan palsu kerana tertekan selepas bercerai dengan suaminya.

Dia turut mengaku menggunakan wang RM500 yang sepatutnya diberikan kepada ibunya.

Kamaruddin pula mendakwa dirinya disamun dua lelaki di hadapan sebuah lampu isyarat di Jalan Sengkang di sini, kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 6 Jun lepas.

Tetapi selepas siasatan, kejadian didapati tidak benar dan tertuduh membuat laporan palsu selepas menyedari beg sandang miliknya yang mengandungi wang tunai RM2,000 dan pelbagai dokumen peribadi, tercicir dan bimbang disalahgunakan.

Muhammad Haziq pula membuat laporan polis palsu kerana takut dimarahi tunang setelah wang sepencarian mereka berjumlah RM1,500 yang sepatutnya diguna untuk membayar ansuran kereta, tercicir.

Sebelum itu, dia mendakwa disamun empat lelaki bersenjatakan parang di Jalan Merak Utama, Bandar Putra Pulai, kira-kira pukul 4.50 pagi, 4 Jun lepas.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengawai Pendakwa Inspektor Siti Noriha Jamal @ A. Jalal manakala semua tertuduh diwakili peguam K. Vijayan.-- Bernama

G.Vani, JSJ, Kulai

Artikel Lain