suria

Polis Cadang Ambil Keterangan Richard Huckle - Khalid

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang  mengambil keterangan daripada pesalah pedofil Richard Huckle bagi mendapatkan butiran lanjut mengenai mangsa kegiatannya di Malaysia.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata PDRM berharap dapat mengambil keterangan itu dalam tempoh terdekat.

"Saya cadang untuk memohon supaya pegawai PDRM dapat ambil keterangan Huckle dalam penjara untuk mendapatkan butiran mangsa.

"Permohonan akan dibuat secepat mungkin tetapi kami perlu ada laporan polis daripada mangsa-mangsa yang terlibat," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad ke-81, di sini, Khamis.

Khalid berkata setakat ini tiada keluarga atau mangsa yang datang membuat laporan polis berhubung perkara itu.

"Oleh kerana kes berkenaan telah selesai, saya harap pihak berkuasa Britain tidak lokek untuk berkongsi maklumat.

"Kalau setakat beritahu polis orang yang disyaki terlibat dalam pedofil, apa boleh kami buat. Oleh sebab itu kami tidak dapat kenal pasti mangsa-mangsa yang terlibat," katanya.

Khalid berkata dalam menangani kes itu ia perlu mendapatkan kerjasama mangsa dan keluarga mangsa.

"Dalam hal ini tidak perlu malu atau sorok apa jua perkara. Anak kita jadi mangsa jenayah sedemikian, jika tidak tampil kita akan gagal tangani perbuatan terkutuk ini.

"Mungkin selepas ini akan ada badan bukan kerajaan tampil kepada polis untuk memberi maklumat kes itu," katanya.

Artikel Lain