suria

1MDB: Shahrol Azral Akan Dipanggil Bantu Siasatan - KPN

Shahrol Azral Ibrahim Halmi

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi bagi membantu siasatan berhubung 1MDB.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya bagaimanapun tidak menetapkan sebarang 'tempoh masa' bila Shahrol Azral akan dipanggil.

"PDRM akan panggil dia (Shahrol Azral) untuk diambil keterangan dan kami masih belum memanggil dia lagi, seperti mana saya katakan sebelum ini ia memerlukan banyak masa untuk menyemak dengan terperinci laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

"Saya tidak mahu pasukan siasatan saya terkejar-kejar membuat siasatan itu (1MDB) dan mereka (pasukan penyiasat) akan memeriksa kesemua dokumen berkaitan,"katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi PDRM Berhad ke-81, di sini, Khamis.

Pada April lepas, PAC membentangkan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB setebal 106 muka surat di Dewan Rakyat.   

PAC yang dianggotai anggota Parlimen Barisan Nasional dan pembangkang itu antara lain mengesyorkan pihak berkuasa supaya menyiasat Shahrol Azral dan pihak yang berkaitan dengan pengurusan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain