suria

Dua Pertiga Pedofilia Dikenali Kanak-Kanak

Richard Huckle

KUALA LUMPUR: Pelaku pedofilia adalah ibarat ular yang bersarang di dalam rumput dan sukar dikenal pasti sehinggalah mereka menampakkan wajah sebenar dan menyerang kanak-kanak.

Dua pertiga daripada pedofilia dikenali kanak-kanak kerana mereka selalunya menyamar sebagai sukarelawan dengan agensi yang berkhidmat untuk kanak-kanak,kata Persatuan Paediatrik Malaysia (MPA) dan Kolej Paediatrik Malaysia.

Menurut persatuan itu, pedofilia akan memperlihatkaan diri masing-masing sebagai manusia yang boleh dipercayai agar mereka sentiasa dapat mendampingi mangsa.

"Statistik menunjukkan bahawa anak anda lebih berisiko dengan seseorang yangmereka kenali berbanding seseorang yang langsung tidak mereka kenali," kata dua persatuan itu dalam kenyataan bersama pada Khamis. 

Ini berikutan sabitan kesalahan pedofilia Britain, Richard Huckle, yang melakukan penderaan seksual terhadap 191 kanak-kanak, 22 daripada mereka kanak-kanak Malaysia.

Menurut kenyataan itu, kebanyakan pedofilia berada dalam kalangan masyarakat seperti jiran, aktivis agama, pengasuh bayi, guru dan malah, anggota keluarga sendiri.

Katanya, kewujudan manusia durjana itu tidak boleh dinafikan dan mereka sukar dikenal pasti kerana pedofilia tidak memiliki ciri-ciri khusus.

"Pihak berkuasa kebajikan dan pihak lain yang mengendalikan rumahkanak-kanak perlu mencari satu sistem penapisan bagi memastikan mereka yang bakal menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa ini, tidak diambil bertugas.

"Kanak-kanak perlu diajar tentang peraturan asas mengenai orang tidak dikenali seperti jangan sekali-kali menerima pemberian oleh orang tidak dikenali atau mendekati orang yang tidak dikenali," katanya.

Kenyataan itu juga menegaskan bahawa pendidikan tentang keselamatan perlu dijadikan sebahagian dripada kurikulum sekolah dan prasekolah dalam bentuk pendidikan seks di Malaysia memandangkan pendidikan itu diketahui merupakan suatu cara berkesan untuk menyelamatkan kanak-kanak daripada menjadi mangsa penderaan seksual.

"Pendidikan seks patut menjadi 'vaksin' daripada penderaan seksual. Hujah bahawa pendidikan seks menggalakkan aktiviti seksual dalam kalangan remaja merupakan pendapat lapuk dan hanya suatu mitos," katanya. -Bernama

pedofilia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain