suria

Nizar Guna Sentimen Kebencian Untuk Raih Sokongan - MB Perak

Dr Zambry Abd Kadir

KUALA KANGSAR: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kini dilihat menggunakan sentimen kebencian terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) pada kempen pilihanraya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.

Beliau berkata bekas menteri besar Perak itu hanya memanipulasi sesuatu perkara dan menyebarkan pelbagai fitnah dalam usaha untuk meraih sokongan pengundi.

"Dia (Mohammad Nizar) sepatutnya menggunakan pendekatan lain untuk berkempen, bukan dengan melakukan pembohongan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Majlis Perbandaran Kuala Kangsar di sini, Rabu.

Beliau mengulas lanjut mengenai kenyataan Mohammad Nizar yang merupakanTimbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) baru-baru ini yang mendakwa kerajaan BN Perak hanya mengutip royalti balak RM13 juta setahun dan Perakadalah negeri ketiga mempunyai penduduk miskin tegar tertinggi di Malaysia.

Zambry berkata kenyataan Mohammad Nizar kononnya sepanjang 11 bulan ketika beliau menjadi menteri besar Perak telah berjaya mengutip RM40 juta royalti balak, juga merupakan satu pembohongan.

"Ini merupakan satu pembohongan yang dibuat oleh beliau kerana kerajaan BN telah membuat kutipan (royalti balak) lebih hebat dari mereka iaitu antara RM57 juta hingga RM70 juta setahun," katanya.

Zambry menjelaskan sejak BN mengambil alih kerajaan negeri Perak, hasil royalti balak yang dikutip pada 2009 ialah sebanyak RM36.7 juta, 2010 (RM57.5juta), 2011 (RM58.2 juta), 2012 (RM63.5 juta), 2013 (57 juta), 2014 (70 juta) dan 2015 (RM66 juta).

Menteri Besar berkata Perak berada pada kedudukan kelapan miskin tegar berbanding  Selangor di tangga keempat dan Pulau Pinang (ketujuh).

"Kita yakin rakyat di Kuala Kangsar pun kenal siapa Nizar, lagi banyak dia bercakap, lagi banyak beliau mengeluarkan tuduhan dan ayat-ayat celupar," katanya PRK Parlimen Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat perjuru antara BN, PAS, Amanah dan Bebas.

Pengundian pada 18 Jun. -Bernama

Artikel Lain