suria

Ahli Keluarga Tidak Dapat Sahkan Pembebasan Empat Mangsa Culik

SIBU: Ahli keluarga empat rakyat Sarawak yang diculik di perairan Pulau Ligitan, Sabah pada 1 April lalu masih samar mengenai laporan dari Jolo bahawa kumpulan Abu Sayyaf telah membebaskan tahanan mereka.

Wong Lung Sung, 81, datuk kepada pasangan adik-beradik mangsa culik itu memberitahu pemberita pada Rabu bahawa mereka tidak menerima sebarang makluman  mengenai pembebasan tersebut.

"Tiada ada apa-apa pengesahan mengenai pembebasan mereka. Kami tidak tahu di mana mereka," kata Lung Sung.

Keempat-empat mangsa culik itu dibebaskan oleh kumpulan bersenjata tersebut pada lewat malam Selasa dan tiba di Sandakan, Sabah, awal pagi Rabu.

Pasangan adik beradik Wong Teck Pang, 31, dan Teck Chi, 29, sepupu mereka, Johnny Lau Jung Hien, 21, dan Wong Hung Sing, 34, (bukan ahli keluarga) antara anak kapal yang diculik dari kapal 'Masfive 6' yang dalam perjalanan ke Sarawak selepas membawa kayu balak ke Manila pada 1 April lalu.

Lung Sung berkata lapan individu dari dua keluarga mangsa tebusan itu kecuali Hung Sing berlepas ke Sabah, dua minggu lalu apabila terdengar mengenai pembebasan mereka.

"Mereka berada di sana selama dua minggu tetapi sehingga pagi ini (Rabu), tiada berita mengenai pembebasan keempat-empat mangsa," katanya.

Lung Sung berkata mereka menyerahkan kepada pihak kerajaan kedua-dua negara untuk berbincang dengan penculik bagi membebaskan semua tebusan.

Artikel Lain