suria

Tempahan Baju Raya Terus Jadi Pilihan

Pengusaha Butik Monday, Nang Ching Ping menunjukkan sebahagian baju raya pelanggannya yang telah siap dijahit di Butik Monday Fashion Tailoring.

IPOH: Setiap kali menjelang sambutan hari raya, tukang jahit adalah antara yang tidak menang tangan menerima tempahan walaupun pelbagai butik yang turut menawarkan jualan secara dalam talian wujud.

Mungkin disebabkan baju tempah lebih selesa terutama dari segi jahitan selain saiz yang pastinya mengikut ukuran badan berbanding baju siap yang adakalanya memerlukan pemindaan.

Bagi tukang jahit, Selmah Mingon, 59, beliau mengambil tempahan baju raya sejak Januari lalu dan telah menutup tempahan pada bulan ini.

"Tahun ini saya cuma mengambil tempahan baju raya 50 pasang kerana takut kalau ambil banyak nanti tidak sempat siap. Saya juga menerima tempahan baju daripada cikgu-cikgu untuk dipakai pada sambutan Hari Guru yang lepas," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Selmah yang berkecimpung dalam bidang jahitan sejak 30 tahun lalu di kediamannya di sini berkata kadar upah yang diambil untuk sepasang baju kurung biasa adalah RM40, manakala untuk baju kurung moden RM50.

Lebih menarik, sekiranya pelanggan tidak mempunyai masa untuk datang ke rumahnya, Selmah sendiri akan pergi ke tempat kerja pelanggan bagi mengambil kain serta ukuran badan.

"Saya tidak ambil tempahan untuk baju Melayu ...selain saya tidak banyak menerima tempahan baju itu kerana lelaki hanya memakai baju Melayu pada waktu tertentu," katanya.

Berbeza dengan Norizan Abdul Salam, 55, beliau masih membuka tempahan baju raya sehingga hujung bulan ini dan hanya boleh menerima tempahan sekitar 50 pasang tahun ini.

"Kedai jahit saya terletak di depan rumah. Walaupun tidak mempunyai pekerja, saya boleh menyiapkan enam pasang baju dalam sehari, sekiranya saya tekun menjahit" katanya yang tinggal di bandar Meru di sini.

Norizan berkata terdapat kalangan pelanggan yang membuat tempahan lebih daripada sepasang, malah ada yang sudah mula membuat tempahan untuk Aidiladha.

Mengenai upah, ibu tunggal kepada lapan anak itu berkata ia bergantung kepada fesyen yang dipilih si pemakai dan katanya baju kurung moden serta jubah adalah tempahan paling banyak untuk raya tahun ini.

Bagi Nang Ching Ping, 44, yang dikenali sebagai Monday, beliau menutup tempahan sejak Mac lalu kerana tempahan untuk baju raya tahun ini melebihi 100 pasang.

"Kadar upah yang saya ambil antara RM100 dan RM200 tetapi baju yang mempunyai 'lining' upahnya mahal sedikit. Saya juga ambil tempahan baju kahwin," katanya.

Beliau yang mengusahakan Butik Monday, Ampang di sini, bersama suaminya serta dibantu tiga pekerja sejak tujuh tahun lalu berkata minat untuk menjahit baju orang Melayu datang daripada ibu saudaranya yang turut menjahit baju itu.

Sementara itu, seorang penjawat awam Nor Ain Abu Bakar, 30, berkata beliau menghantar tempahan untuk keluarga di Butik Monday sejak empat bulan lalu.

"Saya akan tempah baju raya setiap tahun kerana baju yang sudah siap tidak banyak saiz saya," katanya sambil menambah beliau dan adik-adiknya merupakan pelanggan tetap Butik Monday.

Baju Raya, Ramadan, Aidilfitri

Artikel Berikut

Artikel Lain