suria

PAS Dijangka Hilang 10,000 Undi Di Sungai Besar - Kit Siang

Azhar (memandu jentera tuai padi) bersama Kit Siang (tiga dari kiri) ketika melawat pesawah sekitar Sekinchan baru-baru ini.

SEKINCHAN: PAS dijangka tidak akan menang dan akan hilang sehingga 10,000 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, demikian menurut Lim Kit Siang.

Penasihat DAP itu mendakwa, PAS boleh mendapat lebih 18,000 undi ketika bersama Pakatan Rakyat, tetapi tidak secara bersendirian.

"Dalam PRK kali ini PAS akan hilang lebih kurang 9,000 hingga 10,000 undi.

"Satu undi untuk PAS adalah sia-sia oleh kerana ia akan bagi BN menang," katanya kepada pemberita semasa majlis pelancaran ketupat bachang halal Sungai Besar di sini, Selasa.

Hadir sama Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan Ng Suee Lim dan calon Amanah, Azhar Ab Shukur.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, Azhar mempunyai peluang untuk menang jika tiga syarat dipatuhi.

Bagi syarat pertama, Kit Siang berkata, peratusan keluar mengundi terutama pengundi bukan Melayu perlulah tinggi dan mereka perlu menyokong Azhar.

Untuk syarat kedua, beliau menggesa ahli dan pengundi PAS supaya melihat kepada rekod MCA pada Pilihan Raya Umum-13 di mana hanya 30 peratus daripada satu juta ahli keluar mengundi.

"Perkara serupa boleh dilakukan ahli Umno, sungguh pun mereka ahli Umno, untuk pilihan raya ini mereka sokong calon Amanah.

"Kita mahu keadaan politik yang sihat dan baik. Kalau tiga syarat ini boleh berlaku pada 18 Jun, Azhar boleh menjadi ahli Parlimen," katanya.

Sementara itu, Azhar berkata, penerimaan masyarakat Cina di Sekinchan terhadap dirinya adalah baik sepanjang dua hari berkempen.

"Saya pergi mana pun semua tanya saya calon ke? Masa pergi pasar dari jauh pun mereka mula kenal saya...belum sempat nak senyum mereka sudah kenal. Reaksi sangat baik," katanya.

Artikel Lain