suria

82 Ahli DUN Sarawak Angkat Sumpah Jawatan

KUCHING: Kesemua 82 Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak yang dipilih pada pilihan raya negeri Sarawak pada 7 Mei lepas, mengangkat sumpah jawatan pada Selasa sebelum bermulanya penggal baharu persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) esok, Rabu.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu mengetuai istiadat angkat sumpah diikuti oleh menteri kabinet negeri dan ADUN yang lain di bangunan baharu DUN Sarawak di sini hari ini.

Mohd Asfia dalam ucapannya selepas itu mengucapkan tahniah kepada semua ADUN yang telah memenangi kerusi masing-masing serta anggota yang dilantik menganggotai kabinet negeri baru-baru ini.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) Sarawak yang diketuai Adenan kerana berjaya memenangi pilihan raya negeri Sarawak dengan cemerlang.

Esok akan bermula Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Pertama DUN Sarawak Ke-18 hingga 15 Jun ini dan akan dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.

Mohd Asfia berkata istiadat pembukaannya akan bermula dengan perbarisan dan kawalan kehormat bermula jam 9 pagi esok.

Pada pilihan raya negeri baru-baru ini, BN kekal meneraju Sarawak dengan memenangi 72 kerusi DUN yang dipertandingkan, DAP (7) dan PKR (3).

Dua puluh sembilan daripada ADUN Sarawak adalah muka baharu termasuk 11 untuk kawasan DUN yang baharu hasil pelaksanaan persempadanan semula kawasan pilihan raya daripada 71 DUN ke 82 DUN oleh Suruhanjaya Pilihan Raya tahun lepas.

Dun Sarawak

Artikel Lain