suria

'Superman' Dan Rakan Dipenjara

KUALA LUMPUR: Seorang bapa kepada dua anak dan tiga rakannya masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat hari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya ala 'Superman'.

Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan menjatuhkan hukuman itu terhadap bapa kepada dua anak yang merupakan seorang jurujual, Saddam Husein Zulkifli, 25; pembantu butik, Muhamad Fikri Ahmad Fauzi, 25; kelindan lori, Mohd Roslan Fathalaripin, 24, dan buruh binaan, Abdul Aziz Abdul Ghani, 21.

Semua tertuduh diperintah menjalani hukuman masing-masing bermula dari tarikh ditangkap pada 5 Jun dan penjara tiga bulan lagi sekiranya gagal membayar denda itu, serta mereka juga hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Mereka didakwa menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain di Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke) di sini kira-kira pukul 5 pagi, semalam (5 Jun).

Mereka disabitkan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM15,000, serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Artikel Lain