suria

Kes Dera: Pemilik Taska, Dua Bekas Pekerja Dibebas Jaminan Polis

PUTRAJAYA: Pemilik taska di Presint 15 di sini dan dua bekas pekerja yang ditahan reman sejak Sabtu lepas bagi membantu siasatan kes dua bayi disyaki didera, dibebaskan dengan jaminan polis pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Supt S. Vijaya Rao berkata ketiga-tiga wanita itu akan dibebaskan kira-kira 4 petang dari Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

"Siasatan terhadap kes dera dua bayi itu yang tersebar dalam laman sosial sejak Khamis lepas hampir selesai dan hanya menunggu laporan kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Pada Jumaat lalu, polis menahan pemilik taska berumur 27 tahun serta dua bekas pekerja, masing-masing berumur 21 dan 19 tahun berhubung kes dera yang didakwa melibatkan seorang bayi lelaki berumur 13 bulan dan bayi perempuan berumur empat bulan.

Taska itu diarah ditutup bermula hari ini sehingga ia berdaftar dengan JKM.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan berkata pemilik taska itu menghantar gambar bayi lelaki dengan kesan lebam pada mukanya melalui aplikasi WhatsApp kepada ibu bayi itu, seorang pegawai kerajaan, pada 4.10 petang 25 Mei lepas.

Katanya, pada 8.42 malam (hari yang sama), ibu bayi itu menerima satu lagi WhatsApp daripada pekerja taska yang memaklumkan anaknya didera pemilik taska.

Pada Selasa lepas, laporan polis dibuat oleh pemilik taska itu setelah dia menerima WhatsApp bergambar berhubung kanak-kanak didera di taska berkenaan.

"Pemilik taska mengesyaki perbuatan itu dilakukan dua bekas pekerjanya berumur awal 20-an, yang melarikan diri pada Sabtu lepas, sebelum mereka menyebarkan gambar seorang bayi perempuan yang mulutnya ditutup dengan kain lampin dalam Internet," katanya.

Ibu bayi lelaki itu turut membuat laporan polis berhubung kesan lebam pada muka anak lelakinya akibat didera.

Polis juga menerima laporan daripada bekas pekerja taska pada Rabu lepas, yang menafikan mereka mendera kanak-kanak di taska terbabit sebaliknya mendakwa pemilik taska yang mendera kanak-kanak itu.

Dera, Taska

Artikel Lain