suria

PRK Kuala Kangsar: Keluarga Mastura Sebak Ketika Bersahur

Anak-anak Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Annuar (dari kiri) Wan Iskandar, Wan Muhammad Ammar dan Wan Emir Astar meninjau pusat operasi Puteri Umno ketika lawatan mereka ke bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Kangsar pada Isnin. -fotoBERNAMA

KUALA KANGSAR: Suasana sebak dan emosi menyelubungi keluarga Datin Mastura Mohd Yazit ketika bersahur pada pagi ini (Isnin) apabila kerusi utama meja makan tidak berpenghuni.

Anak sulung calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar iaitu Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar berkata, kerusi utama yang tidak berpenghuni itu ialah tempat bapanya, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Menurut pemuda tersebut ketika berkempen untuk ibunya, suasana bersahur pada pagi Ramadan pertama agak berbeza dengan adik-adiknya juga kelihatan sebak kerana ketiadaan ketua keluarga.


"Suasana bersahur pagi ini agak lain, agak emosi kerana sebuah kerusi kosong. Saya tahu adik-adik dan ibu juga sebak tetapi masing-masing kuatkan semangat.

"Arwah papa sentiasa bersama kami pada setiap kali Ramadan. Walau sibuk macam mana pun, beliau tetap akan bersama kami pada Ramadan pertama.

"Itulah yang membuatkan ingatan kami sentiasa bersama beliau. Kami tidak dapat lupakan kasih sayang ini," katanya ketika singgah di Bilik Gerakan BN di sini Isnin.

Wan Emir Astar, 29, menambah, suasana sebak itu akan kembali dirasai apabila mereka berbuka bersama ibunya nanti.

Jelasnya, Allahyarham sentiasa menghidangkan mereka masakan Itali yang dimasak sendiri ketika bersahur atau berbuka.

"Arwah papa ni anggap dirinya sebagai tukang masak makanan Itali terbaik walaupun hanya pasta saja yang sedap.

"Dia sentiasa bersemangat untuk sediakan makanan Itali ketika bersahur atau berbuka, walapun dia telah sediakan makanan ini untuk setiap hari. Ini akan membuatkan kami terus merinduinya," katanya.

Mastura dinamakan sebagai calon PRK Kuala Kangsar selepas suaminya yang merupakan Ahli Parlimen Wan Mohammad Khair-il Anuar meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pada PRK berkenaan, Mastura bakal bersaing dengan tiga calon lagi iaitu  Izad Bukhary (bebas), Najihatussalehah Ahmad (PAS) dan Dr Ahmad Termizi Ramli (Parti Amanah Negara (Amanah).

Artikel Lain