suria

Guru Didenda RM5,000 Pamer Plat Kenderaan Palsu

KUALA LUMPUR: Seorang guru sementara didenda RM5,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, Isnin kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada keretanya.

Majistret, Noorul Fhaiez Mohd Nayan menjatuhkan hukuman itu ke atas Habib Ab Mukmim, 30, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mempamerkan nombor pendaftaran yang bukan kepunyaan kenderaan yang dinaikinya.

Habib yang juga seorang peniaga didakwa melakukan kesalahan itu di Lebuhraya Sprint, di sini ketika dalam perjalanan ke ibu kota, pada 4.30 petang, 19 Mei lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh disabitkan denda maksimum RM20,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Trafik Inspektor Hashimah Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal supaya menjadi pengajaran.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya dikenakan denda yang ringan dengan alasan dia baru datang ke ibu kota untuk mencari pekerjaan bagi membantu keluarganya. - Bernama

Artikel Lain