suria

Hospital P.Pinang Ada Kelengkapan Terkini Rawat MB Kedah - Pengarah Kesihatan

Ahmad Bashah dipindahkan ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk menerima rawatan lanjut kerana hospital itu mempunyai kelengkapan terkini dan lengkap selain pakar yang lebih khusus, pada Isnin. Foto Bernama

GEORGE TOWN: Hospital Pulau Pinang mempunyai kelengkapan terkini dan lebih lengkap untuk merawat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang mengalami komplikasi usus, kata Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr Zailan Adnan. 

Beliau berkata, satu keputusan dibuat para pakar perubatan pada Isnin dan dipersetujui anggota keluarga agar Ahmad Bashah dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang.

"Setelah dimamklumkan hari ini bahawa Ahmad Bashah akan dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang, saya segera mengarahkan para pegawai saya membuat persiapan bagi membantu proses itu," katanya apabila dihubungi Bernama pada Isnin.

Ahmad Bashah dikatakan dibawa dengan ambulans ke Hospital Pulau Pinang pada 3.44 petang dari Kedah Medical Centre (KMC) di Alor Setar. Beliau diiringi anak perempuannya, Azira Hafiza. 

Pada Ahad, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din memberitahu sidang media bahawa Ahmad Bashah mengalami komplikasi usus, tetapi tidak serius dan berada dalam keadaan stabil.

Dr Zailan berkata, tempoh Ahmad Bashah berada di Hospital Pulau Pinang akan bergantung pada penilaian para pakar di sini.

Menurutnya, Ahmad Bashah akan diberi rawatan sewajarnya dan beliau berharap menteri besar itu juga akan mendapat rehat yang diperlukannya.

"Kami berharap tiada sesiapa dibenarkan melawat supaya pesakit dapat menikmati rehat sewajarnya ketika menerima rawatan," katanya.

Ahmad Bashah dimasukkan ke KMC setelah beliau pitam ketika mengadakan mesyuarat dengan anggota dewan undangan negeri Kedah di Hotel Grand Alora, Alor Setar pada kira-kira 7 malam Sabtu. - Bernama

Ahmad Bashah Md Hanipah

Artikel Sebelum

Artikel Lain