suria

LZS Agih RM509,880 Kepada 716 Asnaf Di Hulu Selangor

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan wang zakat berjumlah RM509,880 kepada 716 asnaf fakir dan miskin bagi daerah Hulu Selangor bersempena Ramadan dan Syawal.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM215,750 diagihkan kepada 300 asnaf fakir, manakala RM294,130 kepada 416 asnaf miskin.

"Mereka, masing-masing menerima bantuan antara RM550 dan RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan bagi setiap keluarga," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan Ramadan itu, di sini, Sabtu. 

Mohamad Adzib berkata pada tahun ini, LZS mengagihkan RM27.2 juta bantuan zakat kepada 36,950 keluarga asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor bersempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

"Daerah Hulu Selangor merupakan destinasi terakhir daripada sembilan daerah di seluruh Selangor. Bantuan zakat ini akan diberi sama ada menerusi akaun bank ataupun wang tunai," katanya. 

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamad Adzib berkata walaupun jumlah kutipan dan agihan zakat sentiasa bertambah setiap tahun, jumlah dikutip belum mencukupi bagi memenuhi keperluan asnaf yang semakin meningkat setiap tahun. 

Justeru, beliau berkata semua pihak perlu menyokong dan membantu LZS bagi meningkatkan tahap kesedaran umat Islam terhadap kewajipan berzakat. 

"Kefahaman dan kesedaran umat Islam tentang kepentingan untuk menunaikan zakat akan menjadikan kehidupan lebih sejahtera apabila setiap golongan manusia mendapat hak mereka dengan sempurna," katanya. -- Bernama

Artikel Lain