suria

Kerajaan Belum Putuskan Imbuhan Aidilfitri Untuk Penjawat Awam

Mohd Irwan Serigar Abdullah.

PASIR PUTEH: Kerajaan belum membuat keputusan berhubung imbuhan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan sebagai persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri awal Julai depan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata kerajaan sedang meneliti pelbagai aspek terutama kedudukan kewangan sebelum membuat keputusan mengenainya.

"Sehingga hari ini tiada sebarang keputusan dibuat (berhubung pemberian imbuhan kepada kakitangan awam dan pesara)," katanya kepada pemberita pada majlis Program Transformasi Komuniti Bergerak Orang Kampung Selising yang dirasmikan Anggota Dewan Undangan Negeri Selising, Zulkifli Ali di sini, Sabtu.

Khamis lepas Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyatakan hasrat untuk bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan pemberian bonus raya sebulan gaji kepada 1.6 juta penjawat awam menjelang Aidilfitri ini.

Mohd Irwan berkata terserah kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan sama ada bersetuju atau tidak untuk memberi imbuhan itu berasaskan kemampuan kewangan kerajaan.

Beliau menafikan laporan di laman sosial terutama Facebook, yang menyatakan kononnya kerajaan bersetuju membayar imbuhan sebanyak RM500 kepada setiap kakitangan awam dan pesara menjelang Aidilfitri ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Irwan berkata sebuah Pusat Tranformasi Bandar (UTC) di Kota Baharu bernilai RM30 juta akan dibuka pada bulan Ramadan ini.

UTC itu, katanya mula dibina Januari lepas dan kini 95 peratus siap dibina.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka merasmikan UTC itu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri kelak," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain