suria

Lagi Bekas Pekerja Taska Ditahan Kes Dera Bayi

PUTRAJAYA: Polis menahan seorang lagi bekas pekerja di sebuah taska di Presint 15 di sini, semalam bagi membantu siasatan berhubung kes dua bayi disyaki didera dengan gambar mereka menjadi viral dalam laman sosial.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan berkata wanita itu ditahan di tepi jalan Seksyen 18, Shah Alam, Selangor pada 8 malam.

Beliau berkata polis turut merampas satu unit telefon bimbit, kad sim serta kad memori milik wanita itu yang bekerja sebagai operator kilang.

Semalam, polis turut menahan pemilik dan bekas pekerja taska tersebut setelah gambar kes dera dua bayi itu tersebar dalam laman sosial sejak Khamis lepas.

"Tiga wanita itu ditahan reman selama tiga hari sehingga Isnin (6 Jun)," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Kes dera itu didakwa melibatkan seorang bayi lelaki berumur 13 bulan dan bayi perempuan berumur empat bulan.

Sebelum ini, Rosly berkata pemilik taska itu menghantar gambar bayi lelaki dengan kesan lebam pada mukanya melalui aplikasi WhatsApp kepada ibu bayi itu, seorang pegawai kerajaan, pada 4.10 petang 25 Mei lepas, dan pada 8.42 malam, beliau menerima satu lagi WhatsApp daripada pekerja taska yang memaklumkan anaknya didera pemilik taska.

Pada Selasa lepas, pihaknya menerima laporan polis daripada pemilik taska itu setelah dia menerima WhatsApp bergambar berhubung kanak-kanak didera di taska berkenaan.

"Pemilik taska mengesyaki perbuatan itu dilakukan dua bekas pekerjanya berumur awal 20-an, yang melarikan diri pada Sabtu lepas, sebelum mereka menyebarkan gambar seorang bayi perempuan yang mulutnya ditutup dengan kain lampin dalam internet," katanya.

Ibu bayi lelaki itu turut membuat laporan polis berhubung kesan lebam pada muka anak lelakinya akibat didera.

Polis juga menerima laporan daripada bekas pekerja taska pada Rabu lepas, yang menafikan mereka mendera kanak-kanak di taska terbabit sebaliknya mendakwa pemilik taska yang mendera kanak-kanak itu.

Taska, Kes Dera

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain