suria

Bekalan Makanan Sempena Ramadan Mencukupi - Shabery Cheek

- Gambar hiasan
BALING: Bekalan makanan sempena Ramadan ini dijangka mencukupi untuk memenuhi permintaan rakyat negara ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, walaupun berlaku kenaikan harga pada barang makanan seperti cili dan sayur pada musim El-Nino lalu, keadaan itu semakin pulih sekarang.

"Cuma kita akan pantau dari segi bekalan ayam dan ikan, contohnya di Kedah sendiri walau berlaku El-Nino, ikan rakyat seperti ikan kembung didapati mendarat dengan lebih banyak walaupun El-Nino berlaku.

"Jadi, ini menyebabkan lambakan dan penurunan harga terutamanya di kawasan utara. Masalahnya kita melihat kos pengangkutan kalau nak dibawa ke Kuala Lumpur dan tempat-tempat lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke Baling dan merasmikan Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Baling di Kampung Tiak, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata daerah Baling berpotensi untuk menjadi kawasan penanaman jagung bijirin untuk makanan ternakan berdasarkan kesesuaian iklim dan tanahnya.

Justeru beliau akan berbincang dengan Ahli Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abd Rahim bagi mengenal pasti lokasi yang sesuai dijadikan kawasan penamanan jagung bijirin.

"Kita mesti lihat tanaman jagung bijirin sebagai agenda besar kerana sekarang ini kita import jagung untuk ternakan lebih kurang RM3 bilion setiap tahun dan ia semakin bertambah," katanya.

Beliau berkata program tanaman jagung bijirin untuk ternakan perlu diletakkan sebagai agenda penting dalam dasar pertanian sebagai usaha mengurangkan jumlah import makanan ternakan yang sehingga kini mencecah RM3 bilion setahun.

Jelasnya ketika ini tumpuan sering diberikan kepada jaminan karbohidrat seperti nasi, namun kurang melihat keperluan untuk input makanan ternakan  seperti ayam dan ikan.

"Kalau bercakap mengenai keperluan protein seperti ayam dan ikan, ia masih cukup. Tapi satu komponen penting ialah input makanan kepada ternakan itu dan perkara ini sebelum ini tidak dilihat sebagai agenda utama dalam dasar pertanian," katanya.

Artikel Lain