suria

Nik Abduh Harap Pimpinan PAS Kaji Semula Agihan Kerusi PRU-14

KOTA BARU: Ketua Pemuda PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berharap kepimpinan parti mengkaji semula agihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, pembahagian kerusi wajar mengambil kira aspek kekuatan jentera parti di kerusi yang ditandingi nanti.

Katanya, ia termasuk pola sokongan pengundi mengikut komposisi umur dan tahap pendidikan.

"Cukuplah pengalaman lalu menjadi pengajaran di mana tenaga ahli kita yang ikhlas dan patuh pada arahan pimpinan 'dipergunakan' oleh rakan-rakan demi mencapai kemenangan, kemudian 'ditinggalkan' begitu sahaja.

"Justeru, sekiranya pimpinan parti mengambil satu langkah berani untuk bertanding di kerusi yang selama ini 'dipinjamkan' kepada PKR dan DAP dalam PRU lepas, kami Pemuda PAS berikrar dan berjanji akan mengambil 1,001 langkah bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAS, InsyaAllah," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama Muktamar Dewan Pemuda PAS 2016 ke-57 di sini, Selasa.

Muktamar Dewan Pemuda PAS dirasmikan oleh Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut hadir Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi dan barisan kepimpinan Pemuda PAS serta perwakilan seluruh negara.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain