suria

Jabatan Kastam Pantau 30,000 Perniagaan Dalam Talian

KUALA LUMPUR: Kira-kira 30,000 perniagaan secara dalam talian sedang melalui proses pemantauan Jabatan Kastam kerana tidak mendaftar untuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata jabatan itu sedang mengumpul lebih banyak maklumat mengenai perniagaan tersebut sebelum memulakan operasi.

"Katakanlah jika anda mengimport sesuatu yang lebih daripada RM500, jadi ia tidak tertakluk kepada cukai. Tetapi jika ia lebih daripada jumlah itu, maka anda tertakluk kepada GST dan duti import," kata Khazali pada sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan GST Kebangsaan 2016 di sini Selasa.

Persidangan dua hari anjuran bersama Jabatan dan Institut Cukai Berkanun Malaysia itu dirasmikan Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Khazali berkata uruniaga dalam talian akan melalui proses pengeposan atau perkhidmatan perbankan, jadi masih ada cara jabatan tersebut boleh melakukan pengesanan.

Menurut beliau, perniagaan kecil dalam talian yang tidak mempunyai pendapatan tahunan sebanyak RM500,000 bagaimanapun dikecualikan daripada didaftarkan di bawah GST.

Khazali berkata tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 41 Akta GST 2014 terhadap mereka yang layak tetapi masih belum mendaftar GST.

"Kami bersedia untuk mengesan individu-individu ini kerana kita mahu mereka mendaftar dan membuat tuntutan GST yang betul," kata Khazali.

Sementara itu, Khazali berkata kurang daripada RM200 juta bayaran balik khas GST telah diagihkan kembali kepada peniaga.

Ini, kata Khazali, walaupun kerajaan memperuntukkan hampir RM1 bilion untuk tujuan itu.

"Kami tidak pasti mengapa, mungkin kerana mereka tidak berminat untuk membuat sebarang tuntutan," katanya.

Pembayaran balik khas untuk perniagaan berdaftar GST adalah untuk mengelakkan cukai dikenakan sebanyak dua kali.


Artikel Lain