suria

Persembahan Memukau Anak Permata Seni Di Istanbul

Pelajar Permata Seni mengadakan persembahan sempena Majlis Anugerah Tadbir Urus Baik Global 2016 di Istanbul, malam Khamis

ISTANBUL: Persembahan kebudayaan berwarna-warni mencerminkan kepelbagaian kaum di Malaysia, yang dijayakan 60 anak-anak Permata Seni ternyata telah memukau penonton antarabangsa sempena Anugerah Kebajikan  Kanak-Kanak 3G di sini Khamis malam.

Diketuai pengarah Muhammad Akmal Ayob, persembahan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu koir, tarian dan muzik orkestra yang digabungkan dengan kecerdasan dan kemahiran anak-anak Permata Seni, berjaya mencuri tumpuan 200 penonton sempena majlis anugerah yang julung kali diadakan itu.

Ia juga malam yang melakar sejarah bagi Permata selepas menerima Anugerah Kebajikan Kanak-Kanak 3G kerana kejayaannya memupuk bakat kanak-kanak.

Anugerah itu telah disampaikan kepada Penaung Permata Datin Seri Rosmah Mansor, yang telah mencetuskan idea Permata, yang percaya bahawa setiap  kanak-kanak mempunyai potensi untuk menjadi permata negara jika mereka diberi  rangsangan, persekitaran, bimbingan dan latihan dari kecil.

Persembahan 'Kasih Suntingan' memulakan acara pada malam itu, koreografi tarian gabungan tiga tarian klasik Melayu -- Makyong dari Kelantan, Joget Gamelan dari Terengganu dan Terinai dari Perlis.Ia diikuti segmen muzik orkestra yang menampilkan persembahan mantap alat muzik bertali 'Mendelson String Symphony in D Major (1st Movement)' yang digubah oleh komposer romantik, Felix Mendelssohn.

Permata cilik ini juga menunjukkan kehebatan mereka membawa lagu pop Turki, 'Simarik' yang dipopularkan oleh Tarkan, penyanyi terkenal di Turki, serta medley dua lagu joget Melayu yang popular -- Joget Angan Tak Sudah dan Joget Renung Renung. 

Kedua-dua lagu disusun oleh Lee Sze Wan dan Muhammad Zulfazely Alizan.

Khas untuk negara tuan rumah, anak-anak itu mempersembahkan tarian rakyat Turki 'Horon', tarian rancak dan bertenaga dari negara yang bersempadan dengan Laut Hitam itu. 

Segmen terakhir kumpulan koir menyanyikan beberapa lagu daripada runut bunyi filem 'Alice in Wonderland' pada 2010, Kenek-kenek Udang/Lembu Patah Tanduk, pop klasik 'Blame it on the Boogie' serta 'Hit Me Up' daripada animasi 'Happy Feet'.

Anak-anak Permata Seni melabuhkan tirai persembahan dengan menampilkan tarian pelbagai kaum, yang mencerminkan masyarakat pelbagai budaya di Malaysia serta medley dua lagu epik 'I Believe I Can Fly' dan 'Heal the World'.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Tan Sri Dr Ong Hong Peng dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Datuk Norliza Rofli.-- Bernama


Artikel Lain