suria

PAS, Kerajaan Persekutuan Setuju Bentang RUU Hudud - Nik Abduh

Nik Mohamad Abduh Nik Aziz.

KUALA LUMPUR: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian mengenai hudud oleh PAS adalah hasil kerjasama dengan kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat, kata Ketua Pemudanya, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen pada Khamis, beliau berkata kedua-dua pihak bersetuju dengan pembentangan tersebut demi kebaikan semua pihak.

"Kita bekerjasama dalam perkara penting yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan rakyat. Cuma sesetengah pihak rasakan kita tidak perlu menjalin kerjasama," katanya.

Beliau berkata parti itu juga akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan demi kepentingan rakyat.

"Ini adalah jenis kerjasama yang kita cakapkan, dan kami mengucapkan terima kasih kepada Speaker dan kerajaan kerana mengambil risiko dan membenarkan RUU ini dibacakan dan akhirnya dibentangkan," katanya.

RUU itu disenaraikan sebagai item No.15 iaitu yang terakhir dalam peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

Namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said mengemukakan usul untuk mempercepatkan pembentangan RUU itu.

Speaker Dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia membenarkan RUU dibentangkan selepas lebih suara Ahli Parlimen bersetuju membahaskannya menurut Peraturan Mesyuarat 49 (1).

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengejutkan dewan persidangan memohon supaya usul itu ditangguhkan.

Perbahasan RUU itu akan ditangguhkan pada persidangan Dewan Rakyat pada Oktober ini.

RUU itu pernah dicadangkan oleh Abdul Hadi pada 7 April dan 17 Jun 2015 di Dewan Rakyat tetapi ia tidak dibahaskan.

RUU itu bertujuan untuk meminda undang-undang persekutuan, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, untuk pelaksanaan undang-undang Hudud untuk orang beragama Islam di Kelantan dan negeri-negeri lain.

Artikel Lain