suria

Wanita Diserang Di Dalam Tandas Premis Makanan Segera

Gambar hiasan.

JOHOR BARU: Seorang pekerja sambilan di sebuah restoran makanan segera ditahan atas dakwaan merompak dan cuba melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita di dalam tandas premis tersebut dekat Taman Mount Austin di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Baru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata siasatan mendapati suspek berusia dalam lingkungan 20-an mengheret mangsa ke dalam tandas, mencabul kehormatan dan merompak mangsa semasa kejadian pada pukul 6 pagi, 20 Mei lalu.

"Kami menahan suspek di dalam premis itu kira-kira pukul 10.35 malam Selasa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Rakan mangsa memaklumkan mengenai insiden itu di dalam laman Facebooknya yang kemudiannya dikongsi secara meluas.

Dalam entri itu, rakan mangsa mendakwa wanita itu baharu sahaja keluar dari tandas dan sedang mencuci tangannya apabila terlihat seorang lelaki berdiri di belakangnya.

Lelaki itu kemudiannya menutup mulut mangsa dan mengheretnya masuk ke dalam tandas.

Rakan mangsa mendakwa lelaki itu menghentak kepala wanita tersebut ke dinding selepas mangsa cuba melarikan diri dan menjerit meminta tolong.

Malah rakan mangsa cuba menyelamatkannya tetapi suspek berjaya melarikan diri dengan beg tangan wanita tersebut.
rompak, cabul, premis makanan segera

Artikel Lain