suria

Bapa Dera Anak Tiri Dipenjara Dua Bulan

KUALA LUMPUR: Seorang bapa dipenjara dua bulan dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah mencederakan anak tirinya berusia tujuh tahun sehingga cedera di belakang kepala. 

Majistret Husna Dzulkifly juga memerintahkan Mohamad Nazrin Hashim, 25, seorang juruteknik dipenjara sebulan jika gagal membayar denda itu. 

Mohamad Nazrin dituduh dengan sengaja mencederakan anak tiri itu dengan cara memukul badan dan mencederakan belakang kepala mangsa. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Kampung Muhibbah, BukitJ alil, Cheras, di sini pada 11 malam, 18 Mei lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak lebih dua tahun dan denda tidak lebih RM4,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pada 19 Mei lalu semasa kanak-kanak itu berada di perhimpunan pagi di sekolahnya, pengadu (guru) mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak bermaya dan ada kesan pendarahan di belakang kepala.

Kanak-kanak itu kemudian memberitahu bahawa dia dipukul oleh bapa tirinya menggunakan objek dipercayai besi. 

Pengadu membawa mangsa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur sebelum membuat laporan polis. 

Timbalan Pendakwa Raya, N. Joy Jothi memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan kerana perbuatan itu dilakukan terhadap mangsa yang masih kanak-kanak. 

Tertuduh yang diwakili peguam, Mohd Shmril Afzan merayu hukuman ringan kerana dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah selain isterinya kini sedang mengandung tujuh bulan serta menanggung kedua ibu bapanya. -Bernama

Dera anak tiri

Artikel Lain