suria

Ibu Lega 'Janin' Dikandung Anak Lelaki Berjaya Dikeluarkan

Ibu Mohd Zul Shahril Saidin yang menjalani pembedahan membuang ketumbuhan yang merupakan kembarnya yang menumpang hidup di dalam perut sejak 15 tahun lalu. Foto: Bernama

BALING: Seorang ibu melahirkan perasaan leganya apabila ketumbuhan yang didakwa sebagai janin yang dikandung selama 15 tahun oleh anak lelakinya berjaya dikeluarkan pada Selasa lepas. 

Hasmah Ahmad, 38, berkata walaupun terkejut dengan apa yang dialami oleh anak kelimanya Mohd Zul Shahril Saidin, 15, beliau reda dengan ketentuan Ilahi jika benar ketumbuhan itu adalah janin iaitu kembar kepada anaknya itu. 

"Janin yang dikeluarkan daripada perut anak saya ini lengkap organnya seperti seorang bayi cuma hidung dan mulut tidak sempurna," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Charuk Kangar di sini, Selasa. 

Isu remaja berkenaan yang dikatakan perutnya membesar kerana janin kembarnya' menumpang hidup' selama 15 tahun menjadi viral di laman sosial yang mana kes berkenaan tidak pernah berlaku di negara ini.

Janin yang dikeluarkan daripada perut Mohd Zul Shahril yang sudah tidak bersekolah itu dikatakan boleh dilihat dengan mata kasar iaitu mempunyai rambut selain kaki dan tangan termasuk alat sulit yang sudah terbentuk.

Hasmah berkata janin berkenaan bagaimanapun diuruskan seperti jenazah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Amanjaya, Sungai Petani.

Katanya sebelum itu, anak kelima daripada lapan beradik itu menderita sakit sejak empat bulan lalu dan dimasukkan ke Hospital Baling sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Hamid (HSAH), Sungai Petani untuk membuang ketumbuhan itu.

"Semasa umurnya setahun, doktor ada mengesyaki ada ketumbuhan dalam perut yang berbentuk seperti kepala dan meminta membawa Shahril ke hospital sekiranya mengadu sakit namun keadaannya nampak normal sehinggalah empat bulan lalu dia kerap muntah dan mengadu sakit," katanya.

Beliau berkata benjolan di perut akibat ketumbuhan itu bagaimanapun jelas kelihatan yang menimbulkan perasaan tanda tanya keluarga.

"Pemakanan dia macam biasa dan pernah bergurau makan lebih sikit kerana ada kandungan dalam perutnya," katanya.

Hasmah bagaimanapun mendakwa doktor di hospital berkata janin berkenaan kemungkinan masih hidup sekiranya anaknya itu dirujuk lebih awal ke hospital.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen atas sebab-sebab tertentu.

Usaha wartawan untuk bertemu remaja yang masih dirawat di HSAH juga tidak berhasil kerana enggan ditemui. -Bernama

Janin, Remaja Lelaki

Artikel Sebelum

Artikel Lain