suria

Euro 2016: Polis Siap Sedia Berdepan 'Judi Lumayan'

PETALING JAYA: Saingan Euro 2016 akan bermula tidak lama lagi  dan semua mata akan tertumpu ke Perancis. Tetapi, tidak bagi pasukan polis di sini!

Ini kerana, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mempersiapkan diri berdepan dengan satu lagi 'perlawanan' lumayan lain iaitu industri perjudian haram bernilai RM120 juta.

Kesukaran dan cabaran timbul kini dengan adanya telefon pintar, di mana pertaruhan boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman telah melakukan persiapan kira-kira sebulan memandangkan anggota-anggotanya sedar acara bola sepak dunia itu turut akan disertai dengan pertaruhan besar.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, SAC Datuk Roslee Chik berkata pasukannya telah bersedia untuk melancarkan serangan besar-besaran ke atas sindiket pertaruhan haram melalui operasi Ops Soga di seluruh negara .

"Ketika Piala Dunia Fifa (di Brazil) dua tahun lalu, kami menganggarkan bahawa kira-kira RM120.76 juta nilai pertaruhan telah dipertaruhkan.

"Kami telah menjalankan 828 serbuan di seluruh negara sepanjang pusingan akhir dan daripada jumlah itu, 346 telah berjaya. Kami menahan seramai 414 lelaki dan 10 wanita berusia antara 16 dan 65 tahun," katanya.

Roslee berkata pasukannya turut merampas RM454,088 wang tunai, 64 komputer riba, 49 komputer, 377 telefon bimbit, 43 iPad dan 12 pelayan.

Beliau berkata dengan hanya telefon pintar, penjudi dan sindiket pertaruhan boleh menjalankan perniagaan mereka secara online di mana sahaja dan bila-bila masa.

"Kita mempunyai satu pasukan teknikal yang bersiap sedia jika kita perlu untuk mengesan suspek ini.

"Bagi Ops Soga tahun ini, kita akan menggerakkan semua kakitangan kami di bahagian ini termasuk Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG)," katanya.

Roslee menjelaskan bahawa memerangi sindiket perjudian memerlukan polis untuk berfikir tentang jejak dan muslihat suspek yang akan menukar strategi ketika berlangsungnya kejohanan.

"Dengan setiap kejohanan yang berlalu, kita telah mempelajari sesuatu dan mendapatkan maklumat berharga.

"Sindiket-sindiket boleh menukar modus operandi mereka pada bila-bila masa dan kami perlu sedar dan menyesuaikan strategi kami dengan sewajarnya," katanya, sambil menambah mereka akan menggunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 untuk pendakwaan.

Di Malaysia, pertaruhan perlawanan bola sepak adalah menyalahi undang-undang dan mereka yang meletakkan pertaruhan di laman web perjudian sah mengikut undang-undang negara lain juga akan dikenakan tindakan.

Beberapa aplikasi pertaruhan yang mudah didapati adalah IBCBET, Asian Handicap dan bwin.

Sebelum ini dilaporkan bahawa jumlah pertaruhan untuk Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan berjumlah hampir setengah bilion.

Pada masa itu, polis menahan 143 orang yang berusia 15 hingga dan 73 tahun.

Sebanyak 270 premis diserbu di seluruh negara sepanjang kejohanan selama sebulan dengan nilai rampasan RM110,124.

Euro 2016, judi, wang taruhan

Artikel Lain