suria

Kos Kajian Terowong Dasar Laut Boleh Dikurangkan - Zainal Abidin

NIBONG TEBAL: Kos kajian terowong dasar laut Pulau Pinang boleh dikurangkan sekiranya kerajaan DAP tidak bertindak sendiri, sebaliknya meminta bantuan kerajaan Persekutuan dalam usaha membangunkan negeri ini.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata dengan adanya bantuan kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR), kos lebih RM300 juta untuk kajian pembinaan terowong itu sudah pasti menjadi lebih rendah.

"Kos melantik konsultan asing amat tinggi, sedangkan kerajaan persekutuanmemiliki kepakaran dalam bidang berkaitan menerusi JKR," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2015 berhubung perumahan di negeri ini, Zainal Abidin berkata kelemahan dalam menyelenggara dasar 30 peratus kuota bumiputera boleh menjejaskan hak rakyat bumiputera memiliki kediaman sendiri di Pulau Pinang.

Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Rabu, antara lain menyatakan bahawa pemilikan hartanah Bumiputera tidak mencapai 30 peratus.

Selain itu, status pembeli unit Bumiputera tidak disahkan, unit Bumiputera dijual kepada bukan Bumiputera sebelum kelulusan pelepasan dan akaun Amanah Perumahan Bumiputera Pulau Pinang tidak dibelanjakan.

Terdahulu, Zainal Abidin menyerahkan bantuan elaun sara hidup kepada 830 nelayan Pertubuhan Nelayan Kawasan Seberang Perai dengan nelayan Zon A menerima elaun bulanan sebanyak RM300 dan nelayan Zon B menerima RM250. -Bernama

Artikel Lain