suria

Eksekutif Kewangan Ditahan Tipu Pelanggan, Lesapkan RM5.45 Juta

SHAH ALAM: Polis Selangor menahan seorang eksekutif kewangan sebuah bank kerana melesapkan wang pelaburan daripada 32 pelanggannya,melibatkan kerugian berjumlah RM5.45 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, ACP Mohd Sakri Ariffin berkata lelaki berumur 35 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Cheras, kira-kira pukul 6 petang, Isnin lepas, empat hari selepas suspek yang sebelum itu melarikan dirike luar negara, kembali ke Malaysia.

Beliau berkata suspek berkhidmat di cawangan bank berkenaan di Selayang sejak 2010 dan mula melakukan penipuan pada 2014.

"Kegiatan suspek terbongkar apabila pengurusan bank menyedari butiran seorang pelabur yang membuat pelaburan dana amanah sebanyak RM100,000 melaluinya tidak didaftarkan.

"Suspek terus berhenti kerja pada Julai 2015 dan berpindah randah sehingga ke Thailand sejak tahun lepas kerana melarikan diri, namun keluarganya ditinggalkan di negara ini," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Menurut Mohd Sakri, motif sebenar perbuatan suspek masih disiasat namun dia dipercayai menipu pelanggan bank itu untuk menggunakan jutaan ringgit berkenaan bagi bersuka ria.

Tempoh reman suspek yang tamat hari ini akan disambung untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, katanya.

Dalam kes berasingan, Mohd Sakri berkata satu sindiket penipuan kad kredit palsu ditumpaskan apabila 10 lelaki dan lima wanita ditahan dalam beberapa siri serbuan di sekitar Lembah Klang dari 10 hingga 17 Mei lepas.

Beliau berkata kegiatan sindiket itu dikesan apabila sebuah bank di Kuala Lumpur melaporkan keraguan terhadap beberapa transaksi penggunaan kad kredit bagi tempahan sebuah hotel di Seri Kembangan.

Menurutnya, modus operandi sindiket itu adalah dengan merekrut 'keldai' penipuan menerusi laman sosial sambil menawarkan komisen penjualan kad kredit palsu daripada satu hingga tujuh peratus.

Katanya, kad kredit berkenaan dikesan palsu apabila penggunanya meleretkan kad berkenaan dan nama pada kad berbeza dengan maklumat peribadi yang didaftarkan. 

"Bertindak atas laporan, polis menahan dua lelaki di hotel itu dan merampas 60 kad kredit palsu. Susulan daripadanya, lapan lelaki dan lima wanita diberkas di beberapa lokasi lain.

"Sebanyak 117 kad kredit dirampas dalam tangkapan itu yang kesemuanya dipercayai palsu dan siasatan lanjut mendapati tiga suspek adalah ejen sindiket manakala selebihnya hanyalah 'keldai' penipuan itu," katanya.

Beliau berkata, jumlah kerugian sebenar bagaimana pun tidak dapat dipastikan namun ia merupakan kes yang serius kerana melibatkan maklumat bank antarabangsa.

Katanya, perancang utama sindiket yang beroperasi di negara ini sedang diburu manakala suspek berumur 20 hingga 35 tahun direman untuk siasatan mengikut Seksyen 474 Kanun Keseksaan.-Bernama

Tipu Pelanggan, Kad Kredit

Artikel Lain