suria

MH17: Persetujuan Najib-Putin Petanda Baik Kepada Siasatan

Najib bersama Putin (kanan).

BANGI: Persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Rusia Vladimir Putin berhubung perlunya keadilan dilaksanakan dalam tragedi pesawat MH17 merupakan satu petanda baik bagi siasatan kes itu, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata sebagai mangsa, Malaysia memerlukan kerjasama Rusia dalam aspek siasatan bagi mencari pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines itu di Ukraine pada Julai 2014.

"Semua tahu dalam kes ini kita adalah mangsa, diserang, ditembak jatuh oleh tembakan peluru berpandu BUK, dan kita mesti cari siapa yang menjatuhkan pesawat itu.

"Dalam hal ini, Perdana Menteri (Najib) telah bertemu Putin...mendapatkan persetujuan dan kerjasama daripada Rusia adalah satu permulaan baik ke arah mengetahui perkara sebenar yang berlaku kepada pesawat kita," katanya semasa mengulas perkembangan siasatan insiden MH17 itu susulan pertemuan Najib dan Putin di Sochi, Rusia, pada Khamis. 

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan 'Wall of Fame Tokoh Alumni UKM' di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, Jumaat.

Dalam pertemuan itu, yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia, Najib dan Putin bersetuju agar Malaysia dan Rusia berbincang dengan lanjut untuk memastikan tindakan keadilan dapat dicapai dalam insiden MH17selepas pembentangan laporan oleh Pasukan Penyiasat Bersama (JIT).

Najib dilaporkan turut mengulangi pendirian Malaysia yang mahu memastikan insiden MH17 disiasat sampai ke penghujung dengan memberi kepuasan kepada keluarga mangsa untuk mendapatkan keadilan.

Liow berkata bagi pihak Kementerian Pengangkutan, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana terus membantu terutamanya dalam aspek mendapatkan pendakwaan terhadap pihak bertanggungjawab dan keadilan kepada keluarga mangsa.

"Sebagai langkah susulan, kita sedang berbincang dengan Belgium, Belanda, Australia dan Ukrain untuk mewujudkan badan timbang tara berhubung kes MH17,"katanya.

Beliau akan mendapatkan pandangan Najib terlebih perkara sebelum perkara itu dimuktamadkan.

Pada 17 Julai 2015, Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) merumuskan dalam siasatannya bahawa jet Boeing 777 itu terkena peluru berpandu buatan Rusia, BUK, yang dilancarkan dari wilayah yang dikuasai pemberontak pro-Rusia tanpa menyatakan pihak yang bertanggungjawab dalam nahas itu setahun sebelum itu.   

Namun, pihak Rusia kemudian menafikan perkara itu dan meminta Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) membuka siasatan baharu terhadap nahas pesawat MH17.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata Kementerian Pengangkutan belummendapat apa-apa permohonan atau rayuan daripada pengendali kenderaan perdagangan atau pengangkutan awam untuk menggunakan pemandu asing setakat ini.

Kementerian melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serius menangani kes penggunaan pemandu asing bagi memandu pengangkutan awam, katanya sambil mengingatkan pihak pengendali atau pemilik syarikat bahawa lesen perniagaan mereka boleh ditarik jika melanggar peraturan dengan membenarkan warga asing menjadi pemandu.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 166 warga asing ditahan sejak Januari lepas kerana memandu kenderaan perdagangan, yang merupakan kesalahan mengikut Akta JPJ di mana Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) tidak dikeluarkan kepada warga asing untuk tujuan perniagaan atau perdagangan menggunakan kenderaan di negara ini.

Mengenai 'Wall of Fame Tokoh Alumni UKM', Liow yang dipilih sebagai Tokoh Alumni Tersohor berkata ia merupakan satu penghargaan kepada dirinya selaku bekas penuntut universiti itu.

Beliau yakin keterlibatan alumni dalam menyokong dan memberi sumbangan kepada universiti penting untuk mengekal dan mengembangkan pembangunan institusi pengajian itu.

Selain Liow, turut disenaraikan sebagai tokoh ialah Timbalan Menteri Pendidikan Kedua Chong Sin Woon, Pengerusi Eksekutif Yayasan Guru Malaysia Berhad Tan Seri Alimuddin Mohd Dom, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Shukri Abdull dan Akauntan Negera Datuk Che Pee Samsudin.

Sejak ditubuhkan pada Mei 1970, UKM telah melahirkan 176,009 alumni. -Bernama

Artikel Lain