suria

Penjual Burger Hilang Sejak 30 April Lalu

KUALA LUMPUR: Seorang penjual burger di sebuah gerai di Taman Maluri, Cheras di sini, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke rumah adik perempuannya di Ampang, di sini, sejak 30 April lepas.

Ketua Bahagian Pengurusan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras Asisten Superitendan S. Muniandy berkata, pada hari kejadian, Sazli Ahmad, 59, yang berasal dari Temerloh Pahang, telah menumpang kereta rakan niaganya untuk ke rumah adiknya di Ampang.

Bagaimanapun, katanya kereta berkenaan mengalami kerosakan dan terhenti di Jalan Perkasa 1, di sini pada kira-kira 4 pagi, katanya di sini, Jumaat.

"Sazli kemudiannya memberitahu rakannya untuk berjalan kaki seorang diri ke rumah adiknya kerana mahu menunaikan solat Isyak dengan segera setelah 10 minit menunggu dalam kereta itu," katanya.

Susulan itu, Muniandy berkata satu laporan polis berkenaan kehilangan Sazli dibuat adiknya pada 1 Mei lepas.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kehilangan Sazli diminta menghubungi Balai Polis Cheras di talian 03-90252222 atau Sarjan Ahmad Salihim Arshad di talian 012-6583327.-- Bernama

Taman Maluri, Cheras, Sazli Ahmad

Artikel Lain