suria

Balu Dharmendran Fail Saman Terhadap PDRM, Kerajaan Tuntut Ganti Rugi

M.S. Marry

KUALA LUMPUR: Balu kepada N.Dharmendran, tahanan yang mati dalam lokap polis tiga tahun lepas, pada Jumaat menfailkan saman terhadap Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan kerajaan Malaysia bagi menuntut ganti rugi.

M.S. Marry, 29, menfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi melalui Tetuan Daim  and  Gamany dan menamakan Ketua Polis Negara, sembilan pegawai PDRM dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Marry, seorang suri rumah, menuntut ganti rugi am, khas, teruk, dan teladan, ganti rugi untuk serangan dan serang sentuh ke atas si mati, gantirugi kecuaian, ganti rugi keingkaran tanggunjawab statutori defendan-defendan, faedah dan lain-lain relif dari mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutannya, wanita itu yang hadir ke mahkamah bersama-sama anak lelakinya berumur lima tahun, mendakwa defendan-defandan dengan sengaja telah melakukan serangan dan serang sentuh ke atas Dharmendran semasa dalam tahan polis sehingga menyebabkan kematiannya.

Beliau mendakwa kematian suaminya itu disebabkan keingkaran tanggungjawab statutori mengikut Seksyen 3(3) dan 20 Akta Polis 1967 oleh defendan-defandan.

Marry berkata suaminya mempunyai pendapatan RM1,700 dan kematian mengejutnya itu mengakibatkan beliau mengalami kehilangan, kerugian, penderitaan mental dan duka yang melampau.

Dharmendran berusia 34 tahun. Dia ditahan atas dakwaan cuba membunuh membabitkan senjata api.

Pada 26 Feb lepas, Mahkamah Rayuan memerintahkan Inspektor S. Hare Krishnan, 42, Sarjan Jaffri Jaafar, 46, Koperal Mohd Nahar Abd Rahman, 47, dan Koperal Mohd Haswadi Zamri Shaari, 34, membela diri atas pertuduhan membunuh Dharmendran, selepas mengetepikan pembebasan mereka oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Mereka didakwa membunuh Dharmendran, di bilik soal siasat Bahagian Jenayah Berat (D9), Tingkat 7, IPKKL di Jalan Hang Tuah antara 18 hingga 21 Mei 2013.

Pada 28 April lepas, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian Dharmendran, mendapati kematiannya pada 21 Mei 2013 adalah akibat daripada penggunaan kekerasan fizikal oleh pihak polis.

Pengerusi EAIC Datuk Yaacob Md Sam berkata laporan bedah siasat daripada Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mei 2013, mendapati kematian Dharmendran disebabkan 'diffuse soft tissue injuries due to multiple blunt force trauma'.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain