suria

Tiada Keperluan Bincang Usul Pecat Muhyiddin, Mukhriz - Annuar Musa

Tan Sri Annuar Musa
KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk membincangkan usul memecat bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir daripada Umno pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) akan datang.

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata ini berikutan banyak perkara yang perlu diberi perhatian dan dibincangkan pada mesyuarat yang dijadualkan sebelum Ramadan itu, antaranya persiapan Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

"Secara peribadi, itu bukan satu isu yang mendesak walaupun kita faham bahawa ada perlanggaran disiplin parti yang ketara namun tiada keperluan untuk dilihat perkara itu sebagai yang tersangat urgent berbanding perkara atau hal parti yang lain," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, Khamis.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Isnin berkata MT Umno akan membuat keputusan mengenai isu itu pada mesyuaratnya pada hujung bulan ini, dengan usul telahpun dikemukakan oleh jawatankuasa disiplin parti.

Mengulas mengenai PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Annuar berkata senarai calon sedang diteliti Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak selain mendapat maklum balas daripada pelbagai pihak berhubung calon yang sesuai.

Annuar berkata calon yang bakal dipilih tidak semestinya terdiri daripada calon tempatan, asalkan calon itu berupaya menjalankan tanggungjawab dengan baik sebagai wakil rakyat.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan serentak pada 18 Jun ini manakala penamaan calon pada 5 Jun.

Artikel Sebelum

Artikel Lain