suria

Sting Tumpaskan Cubaan Hidupkan Semula Sarang Penagihan Dadah

Timbalan Komander Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) Bukit Aman, SAC Arjunaidi Muhamed (dua kanan) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Supt Helmi Aris (kanan) menyoal sebahagian daripada kumpulan penagih dadah yang diberkas di kawasan Bukit Malut dalam operasi khas yang berakhir Rabu malam.

LANGKAWI: Polis menumpaskan cubaan untuk menghidupkan semula sarang penagihan dadah di kawasan Bukit Malut dan Taman Nilam di sini apabila berjaya memberkas 89 individu, empat daripada mereka dipercayai pengedar, dalam operasi khas yang berakhir Rabu malam.

Dalam operasi yang dikenali Op Sarang diketuai Timbalan Komander Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) Bukit Aman SAC Arjunaidi Muhamed, polis turut merampas 141.81 gram heroin, 0.64 gram ganja, 84.4 gram syabu, dua biji pil Yaba dan 0.5 liter air ketum.

Arjunaidi berkata empat suspek pengedar yang berumur antara 18 dan 27 tahun ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, 38 orang lagi yang diberkas sedang disiasat mengikut beberapa seksyen lain di bawah akta berkenaan, manakala 47 orang lagi yang didapati positif mengambil dadah dalam operasi itu akan dihantar untuk menjalani rawatan dan pemulihan, katanya di sini.

Operasi dua hari yang bermula Selasa lepas turut disertai anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah diketuai Supt Helmi Aris, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen.

Langkawi, Sting

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain