suria

PM Pelawa Pelabur Britain Tingkat Hubungan Dua Hala Bidang Pertumbuhan Baharu

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucaptamanya di acara Malaysia-UK Investor Showcase di Marlborough House, anjuran Majlis Perusahaan dan Pelaburan Komanwel (CWEIC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), di London, Isnin.
LONDON: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mempelawa pelabur Britain untuk mempertingkat hubungan dua hala khususnya dalam bidang pertumbuhan baharu.

Antara bidang berkenaan termasuk berteknologi tinggi dan baharu muncul, berintensifkan modal, memiliki nilai tambah tinggi, berasaskan pengetahuan, berkemahiran tinggi serta sektor berorientasikan eksport.

Beliau berkata, usaha itu tidak hanya menguntungkan syarikat-syarikat United Kingdom (UK) tetapi turut memanfaatkan rakyat Malaysia menerusi tawaran pekerjaan berpendapatan tinggi.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata sehingga akhir 2015, jumlah pelaburan UK di Malaysia adalah sebanyak 3.4 bilion (1 pound sterling = RM5.79).

Bagi sektor pembuatan, jumlah pelaburan yang direalisasikan adalah 1.1 bilion yang merangkumi 433 projek. 
Kira-kira separuh daripada pelaburan itu membabitkan produk industri bahan kimia dan petroleum manakala elektrikal dan elektronik sebanyak 14 peratus.

"Kita sentiasa mengalu-alukan kehadiran syarikat serta pelaburan UK ke Malaysia yang sememangnya baik untuk pelabur serta Malaysia. Malah, ia melibatkan pulangan sebenar untuk rakyat Malaysia - pelaburan ini menyediakan sejumlah 36,000 pekerjaan baharu," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucaptamanya di acara Malaysia-UK Investor Showcase di Marlborough House, anjuran Majlis Perusahaan dan Pelaburan Komanwel (CWEIC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), di sini.

Sebanyak 188 syarikat Britain dan 34 firma Malaysia menyertai acara sehari yang bertujuan menarik para pelabur termasuk pengurus dana untuk melabur di Malaysia.

Hadir sama Pengerusi CWEIC Lord Marland, Setiausaha Agung Komanwel Patricia Scotland, Menteri Perdagangan dan Pelaburan UK Lord Price serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di UK Datuk Ahmad Rasidi Hazizi serta wakil dan pegawai kanan kerajaan Malaysia dan UK.

Mengulas lanjut, Najib berkata, Malaysia berharap dapat menggalakkan kehadiran lebih ramai pelabur UK untuk memanfaatkan kedudukan strategik Malaysia.

Ia sama ada menerusi penubuhan pejabat serantau bagi kemudahan syarikat-syarikat berkaitan di rantau berkenaan atau dengan menjadikan Malaysia sebagai platform bagi menembusi ASEAN yang merupakan ekonomi ketujuh terbesar dunia, katanya.

Menurut Perdana Menteri, sebanyak 43 projek baharu diluluskan pada 2015 dengan jumlah pelaburannya 44 juta dan akan mewujudkan 3,700 pekerjaan tambahan untuk rakyat Malaysia apabila dilaksanakan kelak.

Projek-projek utama dari UK termasuklah Owen Mumford - dengan hab serantau baharunya - dan Smiths Detection, pereka terkemuka dunia dan pengeluar sistem pengesanan maju - dengan kemudahan baharunya, kedua-duanya di selatan Malaysia.

UK juga antara pelabur dan rakan dagang utama Malaysia dengan jumlah perdagangan negara dengan UK sebanyak 2.76 bilion pada 2015.

Hubungan rapat yang semakin erat dapat dilihat melalui peningkatan tahap pelaburan dalam kedua-dua hala dengan saham pelaburan langsung asing (FDI) dari Malaysia ke UK berkembang sebanyak 161 peratus berbanding 1.7 bilion pada 2009 kepada 3.7 bilion pada akhir 2014.

Pelaburan Malaysia di negara itu termasuklah hotel - hotel Tune dan Thistle; penjagaan kesihatan - iGene dan Spire; runcit - Laura Ashley; dan riadah  dengan Genting dan Hong Leong memiliki kasino dan pusat riadah di seluruh negara.

Syarikat dan institusi Malaysia juga antara pelabur terbesar dalam pasaran hartanah kediaman dan komersial di London.

"Penglibatan Malaysia dalam projek Battersea Power Station telah menjana banyak faedah. Hampir kepada 2 bilion nilai hartanah telah dijual membabitkan  tiga fasa pertama," kata Najib.

Projek itu didorong oleh sokongan daripada beberapa perniagaan pelaburan dan pemaju hartanah yang paling berjaya dan disegani, SP Setia Berhad, Sime Darby, dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Selain pelaburan Malaysia yang secara lazim tertumpu di London dan tenggara negara itu, satu atau dua buah institusi utama Malaysia kini melihat peluang dengan lebih jauh.

Najib berkata pelancaran inisiatif 'Battersea and Beyond' oleh Perdana Menteri David Cameron semasa lawatan beliau ke Kuala Lumpur pada Julai lepas akan terus meningkatkan pelaburan Malaysia ke seluruh UK.

Perdana Menteri turut menegaskan Malaysia telah membina ekonomi yang berdaya tahan, mampan dan inklusif.

"Anda boleh mengharapkan kami sebagai rakan ideal anda bagi tujuan menjalankan perniagaan di rantau ini. Bagi mereka yang belum pernah melawat Malaysia, seharusnya berbuat demikian untuk mengenali sendiri lokasi pilihan di Asia ini, selain menikmati hospitaliti Malaysia.

"Saya mempelawa anda untuk terus menerokai Malaysia sebagai destinasi pelaburan anda, bukan hanya bagi merebut peluang perniagaan dalam negara, malah sebagai pintu masuk ke pasaran Asia Pasifik dan global. Kami mengalu-alukan kehadiran anda," katanya.

Beliau berkata sebagai contoh, pada Mei tahun lepas, Malaysia telah memperkenalkan skim Hab Prinsipal dalam usaha menjadikan negara lebih menarik kepada syarikat global, dan berada di kedudukan yang baik bagi memanfaatkan lokasinya yang kompetitif di rantau ASEAN dan Asia Pasifik.

"Saya gembira untuk mengatakan kami telah meluluskan 12 projek Hab Prinsipal. Datanglah supaya angka itu dapat ditingkatkan," kata Najib.

Perdana Menteri turut membangkitkan kelebihan ASEAN yang dijangka menjadi pasaran keempat terbesar di dunia selewat-lewatnya menjelang 2050.

"Malaysia berada di hadapan dalam menerajui ASEAN bagi mencapai matlamat itu. November lepas, dengan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, para pemimpin ASEAN mengumumkan pelan susulan kepada Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN 2015.

"Dokumen komprehensif itu menyenaraikan pendekatan strategik bagi proses penyepaduan untuk tempoh 10 tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata ASEAN ketika ini giat merundingkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang akan direalisasikan tidak lama lagi bersama  Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.


Negara-negara RCEP meliputi 49 peratus daripada jumlah populasi global, 29.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar dunia dan 25.2 peratus daripada perdagangan global.

Artikel Lain