suria

Sultan Johor Bakal Pandu Trak Mack Ketuai KMJ 2016

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman (kanan) berkenan bergambar bersama Ismail Karim (dua kiri) dan Tee Siew Kiong (kiri) selepas melihat trak-trak di Istana Pasir Pelangi yang akan digunakan pada siri KMJ 2016. Foto: Bernama

JOHOR BAHARU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar akan menjelajah ke seluruh negeri ini dengan memandu trak Mack menerusi Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2016 mulai 14 hingga 17 Mei ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Ismail Karim berkata kembara kali ke-19 merentasi 10 daerah melibatkan laluan sejauh 842 kilometer itu akan turut diiringi dua trak Mack lain, dua bas, 35 motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson serta 10 pacuan empat roda.

"Sultan Ibrahim yang diiringi kerabat diraja, pemimpin negeri dan ketua jabatan akan memulakan perjalanan dari Dataran Majlis Bandaraya Johor Baharu pada 14 Mei (Sabtu) dan berakhir di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pandan, Lebuh Raya Penyuaraian Timur (EDL), di sini, pada 17 Mei (Selasa)," katanya pada majlis pra pelancaran KMJ 2016 di Istana Pasir Pelangi, Ahad.

Berangkat ke majlis itu, Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan taklimat ringkas mengenai KMJ 2016 oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong, Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Ismail Karim, Ketua Sekretariat KMJ 2016 Kapten Fahmy Yahya dan Pegawai Turus Trafik Kontinjen Johor DSP Ibrahim Mat Som.

Ismail berkata matlamat utama penganjuran KMJ 2016 adalah sebagai jambatan bagi menjalin hubungan erat dan antara institusi diraja Johor bersama rakyat dengan pengisian pelbagai program di setiap pelusuk daerah.

Beliau berkata pelbagai acara diatur di setiap laluan yang disinggahi Sultan Ibrahim dan rombongan baginda termasuk menyampaikan bantuan perubatan dan barangan keperluan kepada rakyat yang memerlukan.

Antara lain adalah menyaksikan pelbagai pameran, menyaksikan sukan rakyat dan pelbagai demonstrasi termasuk memasak dan menenun songket, menyampaikan bantuan dan hak milik tanah Felda serta merasmikan Muzium Mersing.

Sementara itu, Fahmy berkata 200,000 unit barangan cenderahati KMJ 2016 turut disediakan untuk diedar kepada rakyat seperti mafla, butang berlogo KMJ 2016, belon, topi serta kipas.

"Sekiranya pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) memenangi perlawanan akhir Piala FA menentang PKNS, Sabtu ini, maka, acara sambutan kemenangan akan diadakan di Taman Yayasan, Segamat, petang keesokan harinya, bersama pasukan pemain dan piala kemenangan," katanya. -Bernama

Trak Mack, Sultan Johor, KMJ2016

Artikel Lain