suria

Pasukan Khas Ditubuh Siasat Punca Kemalangan Tren KTMB

KUALA LUMPUR: Satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat insiden kemalangan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berhampiran stesen Kuala Kubu Baharu pada Sabtu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pasukan itu diketuai KTMB dan diharap dapat memberikan laporan insiden itu secepat mungkin.

"Kementerian memandang serius insiden kemalangan ini. Ia tidak sepatutnya berlaku.

"Melalui siasatan, kita akan tahu sama ada kemalangan berpunca daripada kegagalan pemandu mengikut prosedur atau kegagalan sistem itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA, Ahad.

Tiga penumpang mengalami kecederaan ringan dalam kejadian 1.45 tengah hari itu melibatkan tren Ekspres Rakyat (Butterworth-Johor Baharu) dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) (Kuala Lumpur-Ipoh) yang bergesel di KM322.

Semua penumpang dipindahkan melalui bas perantara yang disediakan untuk menyambung perjalanan masing-masing.

Mengulas lanjut Liow berkata pemandu kereta api terbabit juga telah digantung tugas sementara dan turut berharap insiden itu tidak akan berulang lagi. -Bernama

Artikel Lain