suria

Polis Terengganu Tumpas Sindiket Curi Pacuan Empat Roda

ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah
KUALA TERENGGANU: Empat lelaki termasuk seorang remaja yang dipercayai anggota sindiket curi kenderaan pacuan empat roda, ditahan Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata kesemua mereka ditahan kira-kira pukul 2.40 petang di Kampung Kolam Telaga Papan, Setiu.

Katanya penahahan itu dibuat susulan kehilangan kereta Ford Ranger milik sebuah syarikat yang disedari penyelia syarikat berkenaan kira-kira pukul 6.50 pagi hari yang sama.

"Penyelia berusia 40 tahun itu meletakkan kenderaan berkenaan di kawasan rumahnya di Kampung Jeram, Manir. Menyedari kenderaan tersebut hilang, mangsa segera melakukan laporan di Balai Polis Gong Badak.

"Polis kemudian terus melakukan hebahan ke seluruh daerah sebelum unit kereta peronda berjaya mengesan kenderaan itu di daerah Setiu selepas lebih lapan jam dilarikan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Wan Abd Aziz berkata ketika dikesan kenderaan pacuan empat roda berkenaan ditunda bersama sebuah lagi kenderaan jenis yang sama.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut polis menemui anak kunci bertulis Ford, spanar, kunci allen yang diubah suai, kikir besi serta pemutar skru yang disembunyikan dalam beg pinggang.

Beliau berkata tiga suspek yang ditahan berasal dari Terengganu manakala seorang lagi dari Kelantan.

Katanya hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek yang berusia 17 hingga 35 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine.

Wan Abd Aziz berkata hasil semakan juga mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau atas kesalahan dadah manakala seorang lagi yang bekerja sebagai mekanik mempunyai empat rekod termasuk kes curi kenderaan dan mendatangkan kecederaan parah.

"Ini merupakan kejayaan kedua kita menumpaskan kegiatan seperti ini dalam tempoh dua hari dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sindiket terbabit," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain