suria

Makmal Mini Di Kuil Dibongkar, Rampas Dadah Bernilai Lebih RM1 Juta

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hasssan (dua, kiri) menunjukkan cecair Methamphetamine jenis minyak anggaran isipadu tujuh liter seberat 11.9 kg bersama peralatan memproses dadah dirampas dalam serbuan polis ke sebuah kuil terletak di tepi Lebuhraya Ipoh-Lumut dekat Jelapang pada 2 Mei pada sidang media Polis Kontijen Perak di Ipoh, Khamis. -fotoBERNAMA
IPOH: Polis merampas dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM1.14 juta dalam satu serbuan di sebuah kuil yang dijadikan sebagai makmal mini memproses dadah di Lebuhraya Ipoh-Lumut di Jelapang, di sini, Isnin lepas.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata dalam serbuan hasil maklumat orang awam itu, lima lelaki tempatan berusia lingkungan 19 hingga 46 tahun turut ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak pada 6.30 petang.

"Polis menemukan dadah jenis methamphetamine seberat empat kilogram (kg) dan cecair methamphetamine seberat 11.9 kg serta peralatan dipercayai untuk kegunaan memproses dadah antaranya dapur elektronik, bekas silinder kaca, penimbang digital, kabel elektrik bersama suis dan plug serta sarung tangan.

"Polis turut menyita lima motosikal jenis Honda Wave dan Honda EX5 yang dianggar bernilai RM15,500," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, Khamis.

Beliau berkata dadah yang dirampas itu disyaki untuk diedar di sekitar negeri ini dan boleh dibekalkan kepada kira-kira 40,000 penagih.

Hasnan berkata kesemua suspek yang berasal dari Perak itu bekerja sebagai buruh serta penganggur dan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Katanya, hasil ujian air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah dan mereka kini direman tujuh hari bermula Selasa lepas bagi membantu siasatan.

"Polis mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dan berharap mendapat sokongan berterusan dalam pembanterasan pengedaran dadah di Perak," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori.

Pada Selasa lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam catatan di akaun Twitternya mengesahkan rampasan serta tangkapan itu dan mengucapkan tahniah kepada polis Perak atas kejayaan tersebut.

methamphetamine, makmal mini, kuil

Artikel Sebelum

Artikel Lain