suria

Calon Bebas Bimbang Hilang Kelayakan Bertanding Selepas Keputusan Mahkamah

Yeu Bang Keng (kiri) menggunakan lambang kunci untuk bertanding sebagai calon Bebas dalam PRN Sarawak.
SIBU: Calon Bebas bagi kerusi Bawang Assan bimbang hilang kelayakan bertanding jika dia didapati bersalah atas tuduhan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

Mahkamah Majistret dijangka memberikan keputusan sama ada Yeu Bang Keng, yang lebih dikenali sebagai Beng Kor, perlu hadir membela diri pada Jumaat.

Beng Kor, 47, seorang peniaga kecil dari Kapit pada 4 Ogos 2015 mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 249 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana enggan memberikan nama pengguna dan kata laluan akaun Facebooknya kepada polis.

Beng Kor mendakwa bahawa 'orang dari atas' sengaja mahu beliau menarik diri daripada mengambil bahagian dalam pilihan raya negeri.

"Saya bimbang dengan keputusan mahkamah yang akan dibuat pada Jumaat. Ada orang yang menggunakan mahkamah untuk menjatuhkan saya kerana saya adalah salah seorang daripada pergerakan S4S (Sarawak for Sarawakians) yang sedang memperjuangkan hak-hak negeri ini," katanya .

Beng Kor didakwa telah memanggil Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem 'bodoh' dalam hal-hal berkaitan Perjanjian Malaysia 1963.

Kesalahan itu membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut kertas pertuduhan pada pukul 4.30 petang 15 Mei 2015 di Balai Polis Pusat di sini, beliau enggan memberikan nama pengguna akaun Facebooknya dan kata laluan kepada pihak polis bagi mereka menyiasat sebuah ulasan mengenai posting di FB beliau yang boleh menjejaskan kestabilan negara.

Kerusi Bawang Assan menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Beng Kor, penyandang Datuk Seri Wong Soon Koh (BN), Watson Galau (Bebas), Stanley Chiew (DAP) dan Wong Sing Wei (STAR).

Artikel Lain