suria

Perumahan, Hotel, Kuil Shaolin Dirancang Ganti Kawasan Hutan Dekat Teluk Bahang

GEORGE TOWN: Kuil Shaolin, sekolah antarabangsa, hotel bertaraf empat bintang dan lebih 2,100 unit perumahan merupakan rancangan untuk kawasan hutan yang dibersihkan dekat Teluk Bahang.

Kuil itu akan meliputi 3,700 meter persegi dengan 450 meter persegi untuk laman meditasi. Hotel yang di dalam perancangan itu merupakan bangunan setinggi 25 tingkat di atas tanah berkeluasan 4,280 meter persegi.

Unit perumahan yang dirancang termasuk 1,378 unit perumahan mampu milik di lima bangunan 30 tingkat, 351 rumah teras dan Semi-D, 135 banglo dua tingkat dan 216 kondominium dengan 32 tingkat.

Menara kondominium diletakkan di dalam pelan pembangunan di kawasan pinggir dekat Hutan Lipur Teluk Bahang, yang menghadap empangan.

Data pembangunan mengenai rancangan itu menunjukkan plot tanah kira-kira 20 hektar.

"Walaupun rancangan itu tidak pernah dikemukakan kepada kerajaan negeri, ia dipaparkan di laman web pemaju sebagai projek dalam perancangan syarikat," kata sumber yang mendedahkan pelan pembangunan itu.

Pada 13 Februari, aplikasi Google Earth mengemaskini imej satelit Teluk Bahang, yang mendedahkan kawasan hutan yang banyak pokok sudah ditebangi.

Menggunakan dron ke kawasan itu, The Star mendapati terdapat kerja-kerja pembersihan kawasan dan aktiviti kuari granit di tanah hutan simpan.

Seorang pegawai kanan kerajaan negeri memberitahu dia tidak melihat sebarang rancangan berkenaan.

Kata pegawai itu, dia menemui sesuatu yang tidak kena pada Februari lalu apabila wakil pemaju menghantar surat kepada lembaga SJK(C) Eok Hua bagi menawarkan penempatan semula sekolah tersebut.

"Mereka mahu mengambil tanah sekolah," kata pegawai itu, sambil menambah bahawa sekolah itu adalah bersebelahan dengan tanah berkenaan dan di sepanjang laluan masuk.

Eok Hua merupakan sekolah rendah Cina yang mempunyai kurang 200 pelajar.

"Apa yang kita tidak tahu ialah hutan di tanah mereka telah dibersihkan. Ia merupakan bekas kuari jadi hutan itu tidak terlalu tebal, tetapi mereka masih perlu mendapatkan permit untuk sebarang kerja-kerja pembersihan tanah," menurut pegawai itu.

Teluk Bahang

Artikel Lain